Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai: Pakatan Harapan adakan post-mortem, kata PM Mahathir

Pakatan Harapan (PH) akan melakukan satu 'post-mortem’ terperinci bagi mengenal pasti punca kekalahannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada Sabtu lalu, kata Pengerusi PH dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Anggaran Waktu Membaca:
Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai: Pakatan Harapan adakan post-mortem, kata PM Mahathir

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 18 Nov 2019 06:39PM Dikemas Kini : 18 Nov 2019 06:41PM

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan melakukan satu 'post-mortem’ terperinci bagi mengenal pasti punca kekalahannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada Sabtu lalu, kata Pengerusi PH dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam kenyataan hari ini (18 Nov), Dr Mahathir berkata beliau menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat Tanjung Piai, walaupun sebelum ini sudah menjangkakan bahawa majoriti akan beralih arah ke pihak lawan.

Menurutnya, jangkaan beliau ialah majoriti kekalahan tidak lebih daripada 2,000 undi, namun keputusan rasmi menunjukkan majoriti kekalahan ialah 15,086 undi.

“Satu post-mortem yang terperinci, serius dan jujur di semua peringkat parti akan dibuat bagi mengenal pasti apakah punca sebenar kekalahan pada pilihan raya kecil ini,” kata Dr Mahathir.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bekerja keras sepanjang PRK itu.

PRK enam penjuru di Tanjung Piai menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Dr Wee Jeck Seng menewaskan calon lain termasuk Karmaine Sardini mewakili PH.

Dr Wee menang dengan majoriti 15,086 undi.

Sementara itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim berkata kekecewaan rakyat yang dimanifestasi melalui keputusan PRK Tanjung Piai harus difahami.

“Kita perlu benar-benar memahami kekecewaan rakyat,” kata beliau dan menambah bahawa hasil keputusan pilihan raya itu menunjukkan keperluan untuk meneliti semua aspek.

“Kita sudah dapat maklumat dan harus ambil tindakan bijaksana untuk pulihkan keyakinan (rakyat),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Mengenai desakan pihak tertentu supaya Parlimen dibubarkan, Encik Anwar berkata: “Kekalahan satu atau dua kerusi tidak bermaksud kerajaan kena undur, kita diberi mandat untuk terus berkhidmat kepada rakyat.” 

Sementara itu, Naib Presiden PH Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan menegaskan ini bukan masa untuk anggota dan kepimpinan PH menuding jari dan mengambil kesempatan mempertikaikan pimpinan gabungan itu.

Menurutnya, serangan terhadap mana-mana pemimpin hanya akan melemahkan PH dan keberkesanan kerajaan untuk mentadbir dan mengurus negara.

“Saat ini adalah untuk Pakatan Harapan bersama menyatukan tenaga dan menghadapi kenyataan secara kolektif. Keputusan ini ialah satu cabaran kepada setiap anggota dan barisan pimpinan PH untuk membuktikan bahawa kita mampu meneruskan kerjasama dan mengharungi cabaran sebagai satu pasukan,” katanya.

“Kita perlu membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan komited kepada mandat yang diberi oleh mereka dan kerajaan akan secara konsisten membela nasib dan memperjuang kepentingan mereka supaya keyakinan mereka dapat dikembalikan semula,” kata Encik Mohamed Azmin.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan