Images
  • spr
    Logo Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia. (Gambar: AFP/Mohd Rasfan)

Pilihan raya kecil Cameron Highlands saksi pertandingan 4 penjuru

TANAH RATA: Pilihan raya kecil Cameron Highlands menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta dua calon bebas.

Pakatan Harapan meletakkan Pengerusi DAP Pahang M Manogaran sebagai calon, manakala Barisan Nasional diwakili bekas pegawai kanan polis Encik Mohd Ramli Nor.

Dua calon bebas, masing-masing anak jati Parlimen Cameron Highlands, ialah bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Encik Sallehudin Ab Talib, 61 tahun, dan petani Encik Wong Seng Yee, 40 tahun.

Kesemua nama calon diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Encik Ishak Md Napis kira-kira sejam selepas pusat penamaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah ditutup tepat pada jam 10.00 pagi.

Sementara itu, Presiden MyPPP Encik M. Kayveas yang sebelum ini menyatakan hasrat bertanding, pada saat akhir mengumumkan sebaliknya kepada pemberita dan menyatakan sokongan kepada calon PH serta Bebas, ketika hadir di pusat penamaan calon kira-kira jam 9.30 pagi.

Pilihan raya kecil berkenaan diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lalu mengisytiharkan kemenangan Encik C. Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei 2018, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada PRU14, Encik Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam pertandingan lima penjuru dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan Encik Manogaran yang meraih 9,710 undi; Encik Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS/3,587 undi); Encik Mohd Tahir Kassim (Berjasa/81 undi) dan Encik B. Suresh Kumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM/680 undi).

SPR juga menetapkan 13 Jan sebagai tarikh pengeluaran kertas undi pos, undi awal (22 Jan), semakan peti undi (25 Jan), manakala hari pengundian pada 26 Jan. Buat julung kalinya suruhanjaya itu akan menyiarkan lintas langsung proses penamaan calon, pengundian dan pengiraan undi di laman Facebook SPR (www.facebook.com/sprgovmy/).

Parlimen Cameron Highlands mempunyai dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanah Rata dan Jelai dengan jumlah keseluruhan pengundi yang layak memilih pada piihan raya kecil kali ini seramai 32,009 orang termasuk 247 pengundi awal, 12 pengundi tidak hadir dan 385 pengundi kurang upaya.

Pilihan raya kecil ini adalah yang kelima setelah PRU14 dengan tiga pilihan raya sebelum ini melibatkan DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor dan pilihan raya Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan.

- BERNAMA/NA/na

Top