Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pihak berkuasa M'sia mungkin gali semula kubur Orang Asli

Kementerian Kesihatan bersedia untuk melakukan ujian forensik terhadap 12 lagi mayat Orang Asli daripada suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh di sini yang didakwa meninggal dunia akibat radang paru-paru atau pneumonia sebelum ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Jun 2019 11:16AM Dikemas Kini : 11 Jun 2019 10:02PM

GUA MUSANG: Kementerian Kesihatan bersedia untuk melakukan ujian forensik terhadap 12 lagi mayat Orang Asli daripada suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh di sini yang didakwa meninggal dunia akibat radang paru-paru atau pneumonia sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata kementeriannya bersedia untuk melakukan ujian itu jika diminta berbuat demikian bagi membantu mengesan penyakit mereka dan punca sebenar penyakit itu merebak kepada sebahagian besar kaum terbabit di kampung sama. 

Bagaimanapun, kata beliau, perkara itu terserah kepada polis untuk menggali semula kubur mangsa yang ditanam secara adat kerana setakat ini hanya dua mayat mangsa yang sudah dilakukan bedah siasat dan kebumikan cara Islam. 

Katanya, kementeriannya juga sudah melakukan siasatan berhubung perkara itu di Kampung Kuala Koh tetapi sukar mengesan kubur mereka yang didakwa ditanam di dalam hutan. 

"Bila kita tanya keluarga mereka dan semuanya menjawab tidak tahu," katanya kepada pemberita selepas mendapatkan taklimat berhubung perkara itu dan melawat pesakit Orang Asli yang dirawat di Hospital Gua Musang (HGM) semalam.

Seramai 50 penduduk kaum itu yang masih menerima rawatan di tiga hospital di negeri ini termasuk 37 orang di HGM, 12 orang di Hospital Kuala Krai (HKK) dan seorang lagi menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu. 

Dr Dzulkefly juga mengingatkan orang ramai supaya tidak melawat kampung berkenaan buat masa ini berikutan penyakit itu mudah berjangkit dan jika perlu pengunjung mesti memakai pakaian khas.

"Kita bimbang jika langkah seumpama itu tidak diambil akan menyebabkan penyakit itu boleh merebak ke kawasan lain," katanya. 

Beliau juga menafikan penyakit itu yang bermula batuk, demam, selesema dan berlakunya sesak nafas berpunca akibat kencing tikus tetapi berkemungkinan juga akibat virus lain yang mudah berjangkit melalui pernafasan. 

"Kita sudah melakukan kajian berhubung perkara itu dan tunggu keputusan untuk saya umumkan dalam masa terdekat ini," katanya. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan