Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PH adakan mesyuarat selepas 7 bekas anggota parlimen UMNO sertai Bersatu

Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima tujuh bekas Anggota Parlimen UMNO ke dalam parti itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Anggaran Waktu Membaca:
PH adakan mesyuarat selepas 7 bekas anggota parlimen UMNO sertai Bersatu

(Gambar fail: Manan Vatsayana/AFP)

Diterbitkan : 13 Feb 2019 07:18PM Dikemas Kini : 13 Feb 2019 07:20PM

PUTRAJAYA: Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima tujuh bekas Anggota Parlimen UMNO ke dalam parti itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Katanya, beliau sudah membangkitkan keperluan untuk membincangkan perkara itu dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH kepada Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad, yang bersetuju agar ia diadakan.

"Perkara ini harus dibincang dalam Mesyuarat Majlis Presiden atas semangat Pakatan Harapan,” kata Encik Lim yang juga Menteri Kewangan semasa ditemui pihak media dalam satu acara hari ini (13 Feb).

Pada Selasa (12 Feb) enam bekas Anggota Parlimen UMNO iaitu Encik Hamzah Zainudin (Larut), Encik Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Encik Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Encik Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Encik Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) menerima kad keanggotaan Bersatu daripada Dr Mahathir.

Turut menerima kad keanggotaan Bersatu ialah Anggota Parlimen Masjid Tanah Cik Mas Ermieyati Samsudin, yang menyertai Bersatu pada hujung 2018.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof, yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, penyertaan bekas anggota UMNO ke dalam mana-mana parti PH tidak bermakna mereka 'suci dari dosa lama'.

"Apa yang dia buat dulu walau dia masuk Pakatan Harapan dia tetap akan menanggung kesalahan yang dia lakukan sama ada (mengeluarkan) kenyataan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata sesiapa yang ingin menyertai Pakatan Harapan perlu yakin dan menerima apa yang diperjuangkan pakatan itu.

"Ini adalah supaya tidak ada apa-apa motif lain yang memungkinkan mana-mana pihak menyoal dari segi moraliti penyertaan mereka," katanya.

Dr Mujahid berkata beliau yakin Bersatu sudah melakukan penelitian sebelum menerima bekas anggota UMNO dan beliau turut bersetuju agar perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden supaya tidak berlaku salah guna 'lompat parti' atas kepentingan lain. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan