Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Peti pelindung ini selamatkan lebih 210 bayi terbuang

Jika anda membaca surat ini, hati anda pasti sebak.

Anggaran Waktu Membaca:
Peti pelindung ini selamatkan lebih 210 bayi terbuang

Peti pelindung bayi Yayasan OrphanCARE. (Gambar-gambar: Yayasan OrphanCARE/Facebook)

Diterbitkan : 15 Apr 2019 10:57PM Dikemas Kini : 15 Apr 2019 11:03PM

PETALING JAYA: Jika anda membaca surat ini, hati anda pasti sebak. Itulah yang dialami juga Cik Syarhah Mohd Tahir semasa membaca sepucuk surat oleh seorang ibu kandung:

"Maafkan ibu kerana tidak dapat menjaga Amira (bukan nama sebenar). Tetapi ibu dapat jaga selama sebulan dan itulah sebulan paling berharga."

Surat itu ditinggalkan bersama anak wanita tersebut di dalam sebuah peti pelindung bayi.

Cik Syarhah, seorang Pegawai Pentadbir projek Peti Pelindung Bayi di Petaling Jaya yang berusia 45 tahun, percaya tidak ada manusia sempurna di muka bumi.

"Jika kita sebagai manusia pernah melakukan maksiat, jangan kita menghukum anak itu kerana mereka perlukan kasih sayang walaupun bukan dari ibu kandung,” katanya ketika diwawancara Malaysiakini baru-baru ini.

Projek Peti Pelindung Bayi, atau lebih dikenali sebagai 'baby hatch', dikelolakan Yayasan Orphancare yakni sebuah pertubuhan yang didirikan pada 2008. Selain projek berkenaan, yayasan itu turut mengendalikan pelbagai program lain termasuk rumah jagaan bagi golongan ibu mengandung luar nikah.

Yayasan OrphanCARE. (Gambar: Yayasan OrphanCARE/Facebook)

Yayasan tersebut menyediakan satu peti khas meletak bayi di luar pejabatnya yang merupakan sebuah rumah di kawasan perumahan dekat Jalan Gasing, Petaling Jaya.

PETI PELINDUNG DILENGKAPI CIRI-CIRI KESELAMATAN

Dibangunkan pada 2010, Peti Pelindung Bayi kini mempunyai tiga cawangan di Selangor, Johor serta Kedah.

Peti itu disiapkan dengan beberapa kemudahan seperti kamera litar tertutup, tilam, hawa dingin serta lampu demi memberi keselesaan dn keselamatan kepada bayi yang ditinggalkan di situ.

Peti pelindung bayi Yayasan OrphanCARE. (Gambar: Yayasan OrphanCARE/Facebook)

“Ia (peti) akan terkunci secara automatik setelah ibu kandung meletakkan bayi mereka dan lantas kami akan mendengar bunyi siren (semboyan) yang kuat.

“Tujuan kami melakukan sedemikian adalah untuk mengelakkan masalah penculikan bayi berlaku,” jelas Syarhah kepada Malaysiakini.

Yayasan tersebut sudah menyelamatkan lebih 210 bayi sepanjang hampir 10 tahun lalu. Bayi-bayi itu diserahkan kepada hospital kerajaan sebelum diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Meletakkan bayi dalam peti kami bukan satu jenayah.

“Tapi bila ibu kandung membuang bayi mereka di tong sampah sehingga digigit semut atau anjing, itu jenayah,” tekan Cik Syarhah.

Ibu seorang cahaya mata itu berkata beliau yakin usaha murni sedemikian dapat memberikan sebuah keluarga baru kepada anak-anak terbuang yang akan diletakkan di rumah anak yatim.

KERAP BERLAKU IBU TUNTUT SEMULA ANAK

Beliau juga mendedahkan kepada Malaysiakini bahawa ada ibu kandung yang menuntut semula anak mereka setelah diserahkan kepada mereka. Bahkan, katanya, ia kerap kali berlaku.

“Jika mereka sudah meletakkan bayi tersebut dan ingin menuntut kembali, kami akan minta untuk melakukan laporan polis dan ujian DNA (ujian yang mengesahkan hubungan antara ibu dan anak) untuk kepastian,” jelas Syarhah.

Biar apa sekalipun pandangan dan tanggapan masyarakat, Cik Syarhah menzahirkan rasa hormat kepada semua wanita terlanjur yang melepaskan anak mereka untuk berada di bawah jagaan Orphancare.

“Mereka nak anak mereka hidup, saya tahu itu. Semua yang letak bayi mereka mesti akan menangis. Jadi tak boleh bayangkan macam mana orang tergamak hendak buang bayi mereka.

“Jangan buang, beri kepada kami, kami jaga,” rayu Cik Syarhah dalam laporan Malaysiakini itu. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan