Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pesawat terbabas di landasan lapangan terbang Manila; penerbangan dibatal, dilencong

Pihak berkuasa penerbangan Filipina memutuskan pada Jumaat (17 Ogos) untuk menutup landasan lapangan terbang Manila, selepas sebuah pesawat syarikat penerbangan Xiamen Airlines terbabas sebelum terkeluar dari landasan itu pada lewat malam Khamis (16 Ogos). 

Anggaran Waktu Membaca:
Pesawat terbabas di landasan lapangan terbang Manila; penerbangan dibatal, dilencong

Pesawat Xiamen Air Boeing 737-800 yang terbabas ketika mendarat semasa cuaca buruk di Manila pada 17 Ogos. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 17 Aug 2018 04:48PM Dikemas Kini : 17 Aug 2018 04:52PM

MANILA: Pihak berkuasa penerbangan Filipina memutuskan pada Jumaat (17 Ogos) untuk menutup landasan lapangan terbang Manila, selepas sebuah pesawat syarikat penerbangan Xiamen Airlines terbabas sebelum terkeluar dari landasan itu pada lewat malam Khamis (16 Ogos), menyebabkan penerbangan dibatalkan atau dilencongkan ke lapangan-lapangan terbang yang lain.

Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Manila (MIAA), yang mengendalikan Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila, dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP) mengeluarkan kenyataan bersama hari ini (17 Ogos).

Agensi berita China, Xinhua, melaporkan bahawa menurut kenyataan itu, pesawat jenis Boeing 737-800 terlibat dalam insiden "terkeluar dari landasan" pada pukul 11.55 malam waktu tempatan pada Khamis (16 Ogos) ketika mendarat.

Pihak berkuasa menyatakan bahawa pesawat penerbangan MF8667 itu terkeluar dari landasan dan terbabas ke kawasan berumput di lapangan terbang antarabangsa Manila selepas 'satu pendekatan yang terlepas' menyusuli 'hujan lebat'.

Pihak berkuasa mengesahkan bahawa semua penumpang dan anak kapal pesawat Xiamen Airlines berada dalam keadaan selamat.

Dalam sidang media pada pagi tadi (17 Ogos), MIAA dan CAAP menyatakan bahawa semua penumpang dan anak kapal ditempatkan di sebuah hotel.

Pengurus Besar MIAA, Ed Monreal, berkata terdapat keperluan untuk membersihkan landasan itu daripada serpihan enjin dan gear pendaratan pesawat yang rosak.

Jurucakap CAAP, Eric Apolonio, berkata landasan yang terjejas ditutup buat sementara waktu sehingga pukul 4.00 petang pada Jumaat (17 Ogos).

Sejumlah 12 penerbangan dibatalkan pada pagi tadi menyusuli insiden tersebut.

Beliau berkata, pesawat berkenaan masih berada di kawasan berumput berhampiran landasan utama Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino dan akan ditinggalkan di situ sehingga siasatan selesai dijalankan.  

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan