Images
  • pesawat lebuh raya plus
    (Gambar: Bernama)

Pesawat ringan lakukan pendaratan cemas di lebuh raya PLUS di Johor

PUTRAJAYA: Dua juruterbang warganegara Singapura dilaporkan berada dalam keadaan stabil setelah pesawat ringan kendalian mereka membuat pendaratan cemas di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) (arah selatan) dekat Sedenak, Johor pagi tadi (22 Nov).

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Kapten Chester Voo berkata pesawat persendirian yang dikendalikan Premier Air Singapore itu sedang dalam penerbangan dari Senai ke Melaka semasa kejadian.

"Menara Kawalan Trafik Udara CAAM Johor menerima panggilan pada pukul 10.40 pagi daripada juruterbang pesawat yang memohon untuk berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru oleh kerana menghadapi masalah teknikal," katanya dalam satu kenyataan.


Encik Voo berkata pesawat ringan jenis Beechcraft Model 35 Bonanza itu dipindahkan ke lokasi yang tidak menghalang lalu lintas di lebuh raya.

Menurutnya pasukan mencari dan menyelamat menyelesaikan semua tugas-tugas yang diperlukan dan siasatan akan dilakukan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan.

- BERNAMA/HA/ha

Top