Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pesawat Lion Air yang terhempas: Urutan masa JT610

Pihak berkuasa Indonesia kini melakukan operasi mencari pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Karawang, sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi (waktu tempatan) hari ini (29 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Pesawat Lion Air yang terhempas: Urutan masa JT610

Ahli keluarga para penumpang pesawat Lion Air. (Gambar: Antara Foto/Elza Elvia via Reuters)

Diterbitkan : 29 Oct 2018 02:28PM Dikemas Kini : 29 Oct 2018 02:47PM

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia kini melakukan operasi mencari pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Karawang, sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi (waktu tempatan) hari ini (29 Okt).

Menurut seorang jurucakap dari agensi mencari dan menyelamat Indonesia, pesawat itu terputus hubungan 13 minit selepas ia berlepas.

Ia dijadualkan mendarat di Pangkal Pinang, di pulau Bangka, pada jam 7.20 pagi, menurut laman Flightradar24.

Laluan penerbangan. (Gambar: Flightradar24)

Laluan penerbangan. (Gambar: Flightradar24)

PARA PENUMPANG DAN ANAK KAPAL

Pesawat itu membawa 189 penumpang terdiri daripada 178 penumpang dewasa, seorang kanak-kanak dan dua bayi, serta enam anak kapal dan dua juruterbang.

Menurut para pegawai Indonesia, kapten pesawat itu adalah Encik Bhavye Suneja, yang menurut laporan media tempatan Indonesia, seorang warga India yang sudah berkhidmat dengan pesawat itu selama tujuh tahun.

Lion Air melaporkan bahawa Encik Suneja dan pembantu juruterbangnya Harvino memiliki 11,000 jam masa penerbangan dan dianggap sebagai individu berpengalaman dalam mengendalikan pesawat.

PESAWAT LION AIR

Penerbangan JT610 itu menggunakan pesawat jenis Boeing 737-800 MAX, sebuah pesawat baru yang memulakan operasinya sejak Ogos lalulebih berjimat minyak.

Jet Boeing 737 MAX pertama kali digunakan pada 2017.

Lion Air menerima penghantaran pesawat tersebut pada 13 Ogos tahun ini, menurut para pegawai Indonesia.

LALUAN PENERBANGAN

Berdasarkan maklumat awal dari khidmat Flightradar 24, pesawat tersebut terbang pada ketinggian sekitar 5,000 kaki (1,524 meter) sebelum ia hilang ketinggian. Ia kembali mencapai ketinggian sebelum terhempas ke dalam laut.

Menurut data terakhir yang dirakamkan, pesawat itu berada pada ketinggian 3,650 kaki (1,113 meter) dengan kelajuannya meningkat sebanyak 345 knot (639 kilometer sejam).

Bagaimanapun maklumat ini tidak dapat segera disahkan.

Menurut Google Maps, lokasi terakhir pesawat itu adalah sekitar 15 kilometer di utara pantai Indonesia.

Kompas TV melaporkan seorang pengawal trafik udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta sebagai berkata bahawa pesawat Lion Air itu berlepas seperti biasa. Bagaimanapun beberapa minit kemudian, juruterbang itu menghubungi pusat kawalan udara trafik itu meminta kebenaran untuk berpatah balik ke lapangan terbang tersebut.

Permintaan tersebut diluluskan, tetapi pesawat itu terputus hubungan dan hilang dari radar sejurus kemudian, sebelum disahkan terhempas di lautan.

"Pesawat itu terhempas ke laut sedalam 30 hingga 40 meter," menurut jurucakap Agensi Mencari dan Menyelamat, Yusuf Latif kepada AFP.

"Kami masih mencari serpihan pesawat tersebut."

Rakaman video dan gambar serpihan pesawat itu yang kelihatan terapung-apung di Laut Jawa sudah tular di media sosial. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan