Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pesara tentera buka 'car barista' kerana minat terhadap kopi

Minat yang mendalam terhadap kopi mendorong seorang pesara tentera menceburi bidang 'car barista' atau pembuat kopi, yang menjalankan perniagaan ‘kedai kopi’ menggunakan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang diubah suai sebagai kerjaya baru, selepas menamatkan perkhidmatan pada 2017.

Anggaran Waktu Membaca:
Pesara tentera buka 'car barista' kerana minat terhadap kopi

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 08 Dec 2020 11:04PM Dikemas Kini : 08 Dec 2020 11:07PM

SEREMBAN: Minat yang mendalam terhadap kopi mendorong seorang pesara tentera menceburi bidang 'car barista' atau pembuat kopi, yang menjalankan perniagaan ‘kedai kopi’ menggunakan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang diubah suai sebagai kerjaya baru, selepas menamatkan perkhidmatan pada 2017.

Mengakui ia suatu bidang baru yang tidak pernah termimpi olehnya, Encik Mohd Ariff Sharudin, 47, berkata kecintaan yang mendalam terhadap kopi telah menggerakkannya untuk berkongsi keenakan kopi bersama peminat minuman itu.

Membawa jenama 'Ariff Coffee First' yang bertapak di Ampangan, di sini, Encik Mohd Ariff berkata peniagaan yang diasaskan sejak hampir lima tahun lepas tercetus selepas kunjungannya bersama isteri ke New Zealand.

“Saya memang seorang peminat kopi dan ketika saya dan isteri berada di New Zealand pada tahun 2004, saya mellihat perbezaan cara mereka berniaga yang menggunakan pengangkutan untuk menjual kopi.

“Saya cuba bawa idea itu ke dalam negara dan memulakan perniagaan sebagai pembuat kopi jalanan dengan menggunakan kenderaan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini (8 Dis).

Encik Mohd Ariff berkata meskipun orang ramai mempunyai pelbagai pilihan jenama kopi yang lain, namun baginya kopi yang dihasilkan itu memiliki peminat tersendiri, yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia yang datang dari pelbagai pelosok daerah di Negeri Sembilan.

Bercerita lanjut tentang perniagaannya, bekas jurulatih fizikal di Kem Rasah, Seremban itu berkata beliau mula mempelajari selok-belok teknik menghasilkan kopi sebaik sahaja membeli mesin membuat kopi daripada seorang penjual.

“Dari situ saya mula belajar mengendalikan alat berkenaan dan mula mahir mengunakannya. Memang pada mulanya saya tidak pandai mengolah kopi, namun saya cuba mempelajari ilmu menghasilkan kopi melalui laman sosial YouTube,” katanya.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, sebaik sahaja berjaya menguasai beberapa teknik penghasilan kopi, beliau kemudian mengubah suai kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Kia Sportagenya dengan modal permulaan RM50,000 (S$16,000) untuk memasukkan kesemua peralatan menghasilkan kopi dan menjualnya di jalanan.

“Dalam kenderaan saya segalanya cukup, antaranya ada mesin membuat kopi, pengisar, singki, mesin penjana elektrik, meja serta kerusi. Barangan seperti ini sangat penting kerana ia antara peralatan wajib dalam membuka sebuah kedai kopi,” katanya.

Encik Mohd Ariff berkata biji kopi yang digunakan merupakan jenis 'Gayo' yang diimport khas dari Acheh, Indonesia, dan beliau memerlukan kira-kira 20 kilogram kopi untuk kegunaan bagi tempoh sebulan.

Anak kelahiran Perak itu berkata kopinya dijual sekitar RM5 (S$1.60) hingga RM12 (S$3.90) secawan dan beliau mampu meraih lebih RM200 (S$66) sehari dengan kira-kira 50 cawan kopi terjual.

“Antara kopi yang ada ialah cappucino, latte, mocha, black coffee dan espresso, kopi yang sering menjadi pilihan ramai ialah kopi mocha serta latte,” katanya dan menambah perniagaannya beroperasi setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula dari pukul 7.00 pagi hingga 12.30 tengah hari manakala pada hujung minggu dan cuti umum bermula dari pukul 7.00 pagi hingga 2.00 petang.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan