Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pesan Najib kepada pengundi awal: Harapan sebenar ada pada Barisan Nasional

"Hakikatnya, 'harapan' sebenar ada pada Barisan Nasional," kata Datuk Seri Najib, yang juga Pengerusi BN.

Anggaran Waktu Membaca:
Pesan Najib kepada pengundi awal: Harapan sebenar ada pada Barisan Nasional

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 04 May 2018 09:54PM Dikemas Kini : 04 May 2018 09:58PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak hari ini (4 Mei) menyeru agar pengundi awal terutamanya anggota keselamatan mengundi berdasarkan fakta, pencapaian serta segala sumbangan kerajaan kepada negara dan anggota keselamatan, bukannya mengundi berdasarkan hasutan.

"Hakikatnya, 'harapan' sebenar ada pada Barisan Nasional," kata Datuk Seri Najib, yang juga Pengerusi BN.

Beliau berkata pihak pembangkang tidak menghargai jasa dan pengorbanan anggota keselamatan kepada negara, malah ada juga yang memperlekehkan pengorbanan itu.

"Pihak pembangkang, selain memperlekehkan fungsi serta tanggungjawab penjawat awam yang termasuk anggota-anggota keselamatan negara seperti saudara-saudari, mereka berniat untuk mengurangkan jumlah penjawat awam pula.

"Penang Institute misalnya, pernah berkata bahawa sebenarnya Malaysia perlu 430,000 orang penjawat awam sahaja,'” katanya dalam catatan terkini di laman blog rasmi NajibRazak.com hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa itu bermakna kemungkinan besar seramai 1.2 juta penjawat awam  daripada jumlah keseluruhan 1.6 juta orang akan kehilangan mata pencarian.

Maka itu, parti dan wakil rakyat seperti itu harus ditolak oleh rakyat.

"Setiap tahun, pasti ada pengumuman khas yang melibatkan kebajikan serta kesejahteraan kehidupan anggota-anggota keselamatan negara, termasuklah yang telah bersara," katanya.

Malahan, katanya pengumuman Manifesto BN baru-baru ini jelas memperlihatkan bagaimana parti  sentiasa  memikirkan kebajikan serta kesejahteraan anggota keselamatan negara.

"Antaranya termasuklah penyediaan 45,000 unit rumah keluarga Angkatan Tentera menjelang 2030, 10,000 unit rumah Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) , 10,000 unit rumah Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan peningkatan kuota haji khas untuk pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM," katanya.

PM Najib turut mengimbas tragedi berdarah di Lahad Datu, Sabah pada 2013 yang mengorbankan anggota keselamatan dalam mempertahankan negara.

"Saya masih ingat lagi tangisan ahli keluarga perajurit negara yang gugur mempertahankan kedaulatan negara, tetapi pembangkang memperlekehkan, malah ada yang tergamak menyatakan ia hanya sandiwara semata-mata.

"Saya masih ingat dengan jelas kerana saya sendiri turun bertemu saudara-saudari, dan saban tahun saya memikirkan bagaimana untuk terus menghargai dan meningkatkan lagi kualiti hidup saudara-saudari semua.

"Pilihlah kestabilan, pilihlah kemakmuran, pilihlah kejayaan. Pilihlah untuk #HebatkanNegaraku," katanya. 

Sumber : Bernama/SU/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan