Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pesalah rasuah mesti dihukum, kata Dr Mahathir

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berkata, individu yang melakukan rasuah mesti dihukum tetapi beliau berpendapat ia belum mencapai tahap pesalah rasuah harus dihukum penjara seumur hidup.

Anggaran Waktu Membaca:
Pesalah rasuah mesti dihukum, kata Dr Mahathir

Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: Lai Seng Sin/Reuters)

Diterbitkan : 25 Sep 2018 12:29PM Dikemas Kini : 25 Sep 2018 12:33PM

LONDON: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berkata, individu yang melakukan rasuah mesti dihukum tetapi beliau berpendapat ia belum mencapai tahap pesalah rasuah harus dihukum penjara seumur hidup.

“Mereka (individu yang melakukan rasuah) mungkin di penjara, berapa lama mereka dipenjarakan bergantung pada tahap kesalahan rasuah, dan saya fikir tahap rasuah yang berbeza memerlukan hukuman yang berbeza. Tetapi kami belum mencapai tahap bagi hukuman penjara seumur hidup,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata demikian semasa menjawab soalan sama ada beliau menyokong hukuman mati bagi pemimpin yang melakukan rasuah selepas menyampaikan ceramah bertajuk ‘Cabaran Tadbir Urus Yang Baik Dalam Negara Islam’ pada Isnin (24 Sep) di Pusat Pengajian Islam Oxford di Universiti Oxford.

Individu yang didapati bersalah melakukan rasuah oleh mahkamah di Malaysia akan dihukum penjara, kata beliau sambil menambah bahawa di sesetengah negara, pesalah rasuah ditembak mati tetapi ia tidak akan menghuraikan masalah itu.

"HORMATI UNDI"

Dalam ceramahnya yang menyentuh mengenai negara Islam dan sistem demokrasi, Dr Mahathir berkata negara Islam yang mengamalkan sistem demokrasi memerlukan lebih banyak masa untuk memahami pelaksanaan demokrasi.

“Sekiranya anda tidak memahami bahawa dalam demokrasi undi paling berkuasa, anda tidak perlu mengamalkan sistem demokrasi,” kata Dr Mahathir sambil menambah di beberapa negara Islam, mereka lebih selesa dengan sistem monarki.

Di sesetengah negara Islam, peralihan kepada sistem demokrasi membawa bencana terhadap negara-negara berkenaan, katanya.

“Setiap kali mereka cuba laksanakan sistem demokrasi, akan ada pertempuran antara mereka dan negara itu hampir musnah,” tambah beliau.

Dalam sistem demokrasi, Dr Mahathir berkata, rakyat memilih kerajaan dan menyokong kerajaan untuk tempoh masa tertentu.

Bagaimanapun, di beberapa negara Islam, mereka tidak sanggup menunggu sehingga tamat tempoh tersebut dan mahu perubahan segera selepas pilihan raya.

“(Ia) masa untuk mereka menghormati undi dan menubuhkan kerajaan yang menggunakan kuasa untuk kebaikan negara dan rakyat,” kata beliau.

Menurut Dr Mahathir, Malaysia adalah sebuah negara Islam yang mengamalkan sistem demokrasi walaupun 60 peratus daripada penduduknya beragama Islam dan rakyatnya taat kepada Raja.

Sistem itu dianggap berjaya kerana rakyat Malaysia mempunyai Raja dan mereka juga mengamalkan sistem demoraksi, kata beliau..

“Kami (di Malaysia) tidak suka keganasan. Kami tidak menggulingkan kerajaan sehingga kerajaan itu bertukar dengan sendirinya."

Semasa lawatan sulungnya ke Pusat Pengajian Islam Oxford pada 1996, Dr Mahathir pernah menyampaikan ceramahnya yang terkenal bertajuk ‘Islam Agama yang Diselewengkan’.

Sejak penubuhannya pada tahun 1985, pusat itu menampilkan ramai tokoh terkemuka untuk bercakap mengenai pelbagai perkara yang berkaitan dengan dunia Islam.

Di dalam premisnya yang baru, pusat itu mempunyai beberapa ruang kuliah yang khusus termasuk Auditorium Malaysia bagi perkembangan programnya. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan