Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pesakit hospital dipindahkan akibat kebakaran

Sekitar 1,000 pesakit, kakitangan dan orang ramai yang berada di 18 wad di Hospital Sibu terpaksa dipindahkan ke tempat yang selamat apabila asap dikesan keluar dari siling tandas Wad 23 hospital tersebut pagi tadi (18 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Pesakit hospital dipindahkan akibat kebakaran

Keadaan di sekitar hospital Sibu pagi tadi. (Gambar: Henna Ooi/ Facebook)

Diterbitkan : 18 Nov 2017 03:32PM Dikemas Kini : 18 Nov 2017 03:39PM

SIBU: Sekitar 1,000 pesakit, kakitangan dan orang ramai yang berada di 18 wad di Hospital Sibu terpaksa dipindahkan ke tempat yang selamat apabila asap dikesan keluar dari siling tandas Wad 23 hospital tersebut pagi tadi (18 Nov).

Kebakaran kecil yang dipercayai berpunca dari litar pintas itu dikesan oleh beberapa jururawat di wad tersebut pada kira-kira 8.00 pagi sebelum membunyikan penggera kebakaran dan memulakan proses pemindahan pesakit.

Pemangku Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Sibu, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada kira-kira 8.19 pagi dan menggerakkan dua jentera masing-masing dengan kekuatan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dan Sibu ke hospital itu.

Beliau menambah, setibanya di tempat kejadian, semua pesakit sudah dipindahkan oleh pihak hospital ke tiga tempat perhimpunan selamat.

“Apa yang kita lakukan ialah mengesan punca kebakaran dan memadamkannya dengan menggunakan hos pemadam api di dalam bangunan hospital,” kata Encik Kamarudin.

Pesakit-pesakit dan jururawat yang bertugas di wad lain dibenarkan kembali semula ke wad masing-masing sekitar 10.00 pagi manakala pesakit dan jururawat di Wad 23, setengah jam kemudian.

Encik Wan Kamarudin mengatakan tiada sebarang kecederaan dilaporkan semasa kejadian berkenaan dan punca sebenar kebakaran masih disiasat.     

Beliau memuji tahap kesediaan yang ditunjukkan oleh pihak Hospital Sibu sehingga membolehkan mereka bertindak dengan pantas dan selamat dalam menghadapi situasi kebakaran itu.

“Pihak Hospital Sibu memang kerap mengadakan latihan kebakaran untuk kakitangan. Sepanjang tahun ini sudah dua kali ia diadakan dan difahamkan pada 25 November nanti, akan ada satu lagi latihan,” katanya. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan