Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pesakit COVID-19 berusia 5 tahun selamatkan nyawa kakak menerusi pemindahan sel tunjang

Hospital Ramathibodi di Thailand pada Selasa mengumumkan kes pemindahan sel tunjang pertama yang berjaya di dunia melibatkan seorang pesakit muda COVID-19, yang mendermakan sumsum tulang untuk menyelamatkan kakaknya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pesakit COVID-19 berusia 5 tahun selamatkan nyawa kakak menerusi pemindahan sel tunjang

Pasukan pembedah lakukan pembedahan ke atas 'Jio' di Thailand (Gambar: Hospital Ramathibodi)

Diterbitkan : 27 Jun 2020 12:54AM Dikemas Kini : 27 Jun 2020 01:06AM

BANGKOK: Hospital Ramathibodi di Thailand pada Selasa mengumumkan kes pemindahan sel tunjang pertama yang berjaya di dunia melibatkan seorang pesakit muda COVID-19, yang mendermakan sumsum tulang untuk menyelamatkan kakaknya.

Bangkok Post melaporkan, Prof Dr Suradet Hongeng, seorang pakar pemindahan sel tunjang di jabatan pediatrik fakulti perubatan Hospital Ramathibodi, berkata prosedur itu dilakukan pada April.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, Sila "Jio" Boonklomjit, mendermakan sel tunjang sumsum tulangnya untuk menyelamatkan nyawa kakaknya yang berusia tujuh tahun, Jintanakan, juga dikenali sebagai "Jean", yang dilahirkan dengan talasemia iaitu tubuhnya tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang bermutu dalam jumlah yang mencukupi.

"Kes ini sangat mencabar dan rumit. Tepat pada hari kami perlu mendapatkan sel tunjang dari Jio, kami mendapati beliau dijangkiti COVID-19.

"Pengumpulan sel tunjang dari sumsum tulang memang berisiko, termasuk risiko sel tunjang dijangkiti COVID-19. Prosedur tambahan juga perlu dilaksanakan kerana Jio perlu dikuarantin... Tambahan lagi, ia melibatkan isu keselamatan untuk kakitangan perubatan yang menghadapi risiko semasa pembedahan," kata Dr Suradet.

"Kes ini adalah yang pertama di dunia melibatkan operasi kecemasan untuk mengumpulkan sel tunjang dari pesakit COVID-19 untuk pemindahan," katanya seperti dilaporkan Bangkok Post.

IBU, ANAK DIJANGKITI COVID-19

Selain risiko COVID-19, para doktor juga perlu berkejar dengan masa kerana Jean telah cukup bersedia secara fizikal dengan melalui kemoterapi dan kerana itu, daya tahan tubuhnya rendah. Jika pemindahan sel tunjang tidak dilakukan dengan segera, nyawanya berada dalam bahaya, kata Dr Suradet.

"Tidak mudah untuk mencari penderma sel tunjang lain untuk Jean kerana sel tunjang yang sesuai dari penderma yang tidak mempunyai hubungan genetik sangat jarang ditemui. Peluangnya adalah 1 dalam 20,000-50,000. Itu akan memakan masa," kata Dr Usanarat Anurathapan, yang melakukan pemindahan itu.

Menurut Bangkok Post, Cik Sasiwimol Boonklomjit, 39, ibu kepada adik-beradik itu, menerima jagaan pranatal sebanyak dua kali di Hospital Ramathibodi. Beliau dijangkiti COVID-19 terlebih dahulu dari seorang anggota keluarga, dan anak lelakinya dijangkiti sebelum pemindahan itu.

Suaminya, Suchai Boonklomjit, berkata: "Saya mengakui bahawa saya hampir putus harapan. Saya rasa malapetaka tidak habis-habis menimpa. Sementara pemindahan sel tunjang yang kami harapkan untuk Jean semakin hampir kami dikejutkan pula dengan berita buruk bahawa anak lelaki kami dijangkiti COVID-19. Isteri saya juga dijangkiti."

Mujur anggota-anggota keluarganya yang dijangkiti virus itu kini sudah pun sembuh. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan