Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pertubuhan antarabangsa terus tarik pengiktirafan dari Aung San Suu Kyi

Selama bertahun-tahun lamanya, pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi menambat hati masyarakat dunia, disanjung pertubuhan-pertubuhan global dan para pemimpin politik kerana memperjuangkan demokrasi dan pembaharuan di negaranya selama beberapa dekad.

Anggaran Waktu Membaca:
Pertubuhan antarabangsa terus tarik pengiktirafan dari Aung San Suu Kyi

(Gambar fail: Soe Zeya/Reuters)

Diterbitkan : 19 Dec 2018 12:07PM Dikemas Kini : 19 Dec 2018 12:10PM

SINGAPURA: Selama bertahun-tahun lamanya, pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi menambat hati masyarakat dunia, disanjung pertubuhan-pertubuhan global dan para pemimpin politik kerana memperjuangkan demokrasi dan pembaharuan di negaranya selama beberapa dekad.

Namun, beliau kini berdepan dengan pelbagai kritikan ekoran tindakan keras negaranya terhadap kaum Muslim Rohingya, yang mana para penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan pembunuhan beramai-ramai serta perbuatan merogol secara berkumpulan sebagai satu tindakan "penghapusan kaum".

Para pemimpin dunia seperti Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohammad mengecamnya atas kekejaman yang dilakukan. Malah, Dr Mahathir menyifatkan segala jawapan Cik Aung San Suu Kyi sebagai "tidak berasas".

Semasa dalam satu mesyuarat pada November lalu, Naib Presiden Amerika Syarikat Mike Pence juga memberitahu pemenang Nobel Laureate itu bahawa "penindasan" oleh tentera negaranya "tidak boleh diterima".

Ada juga pihak yang tidak sekadar mengkritiknya. Beberapa pertubuhan menarik balik pengiktirafan masing-masing terhadap Aung San Suu Kyi. Minggu ini, Yayasan Peringatan Korea Selatan menjadi pertubuhan terkini yang mengambil langkah serupa.

Meskipun beliau masih lagi memegang Hadiah Keamanan Nobel - kerana Jawatankuasa Nobel tidak membenarkan sebarang hadiah untuk ditarik balik - banyak negara dan pertubuhan antarabangsa memilih untuk menjauhkan diri atau tidak lagi berhubungan dengan tokoh yang pernah disanjung satu ketika dahulu itu.

Berikut adalah beberapa anugerah dan pengiktirafan Cik Suu Kyi yang ditarik balik ekoran krisis Muslim Rohingya:

ANUGERAH HAK ASASI MANUSIA GWANGJU

Yayasan Peringatan 18 Mei, salah satu kumpulan hak asasi terbesar Korea Selatan, pada 18 Dis mengumumkan keputusan untuk menarik balik Anugerah Hak Asasi Manusia Gwangju 2014 Cik Aung San Suu Kyi.

Seorang jurucakap yayasan tersebut berkata Cik Suu Kyi "bersikap tidak ambil peduli terhadap penindasan atas kaum Rohingya, sesuatu yang bertentangan dengan nilai-nilai di sebalik anugerah yang diberikan - melindungi dan memperjuangkan hak asasi manusia".

Yayasan itu ditubuhkan pada 1994 bagi memperingati pemberontakan prodemokrasi 1980 di Gwangju, yang berakhir dengan lebih 200 orang terkorban atau cedera.

DUTA ANUGERAH HATI NURANI

Amnesty International pada 13 Nov menarik balik hadiah hak asasi manusianya yang paling berprestij daripada Cik Suu Kyi, sambil menuduh pemimpin Myanmar itu merahsiakan pelanggaran hak asasi manusia dengan tidak terang-terangan membicarakan tentang isu itu.

Amnesty International menyatakan bahawa Cik Suu Kyi gagal bersuara dan "menyokong serta melindungi tenteranya" meskipun mereka sudah bertindak kejam terhadap kaum Muslim Rohingya, sambil menyifatkan itu sebagai "pengkhianatan terhadap nilai-nilai yang dipegang teguh sebelum ini".

Kumpulan itu menamakan Cik Suu Kyi sebagai Duta Anugerah Hati Nurani 2009 ketika beliau masih lagi ditahan kerana membangkang pemerintah tentera Myanmar.

ANUGERAH ELIE WIESEL

Muzium Peringatan Holokus Amerika Syarikat menarik anugerah tertinggi Cik Suu Kyi kerana gagal mengecam dan menghentikan serangan-serangan tentera terhadap kaum Muslim Rohingya Myanmar. Pemimpin Myanmar itu merupakan penerima pertama Anugerah Elie Wiesel pada 2012.

Dalam satu surat yang dimuat naik ke lamannya, muzium itu menyatakan bahawa Cik Suu Kyi dan Parti Liga Nasional bagi Demokrasi enggan bekerjasama dengan para penyiasat PBB, mengapi-apikan keadaan supaya kaum Rohingya dibenci dan menyekat akses para wartawan ke kawasan-kawasan di mana tindakan kejam dipercayai berlaku.

PENGHORMATAN KEBEBASAN BANDAR

Paris, Edinburgh, Glasgow, Oxford, Sheffield, Dublin dan Newcastle tahun ini masing-masing menarik balik penghormatan Cik Suu Kyi.

Seorang jurucakap bagi Datuk Bandar Paris Anne Hildalgo pada 30 Nov berkata bahawa keputusan dibuat selepas "beberapa pelanggaran hak asasi manusia yang berlaku di Myanmar serta keganasan dan penindasan oleh tentera-tentera tempatan terhadap kaum minoriti Rohingya.

Ini menjadikan Cik Suu Kyi orang pertama kehilangan penghormatan itu, satu anugerah yang sangat simbolik.

KERAKYATAN KEHORMAT KANADA

Parlimen Kanada sebulat suara mengundi pada 27 Sep untuk menarik kerakyatan kehormat Kanada Cik Suu Kyi. Keputusan itu dibuat ekoran krisis Rohingya di Myanmar, yang mana Ottawa sebelum ini mengisytiharkan sebagai penghapusan kaum.

Pemimpin Myanmar, yang mendapat penghormatan pada 2007, menjadi orang pertama di mana kerakyatan kehormatnya ditarik balik. Anugerah itu disampaikan kepada Dalai Lama, pejuang pendidikan bagi wanita Malala Yousafzai dan Nelson Mandela.

JAWATAN PRESIDEN KEHORMAT, KESATUAN PELAJAR SEKOLAH EKONOMI LONDON

Kesatuan Pelajar Sekolah Ekonomi London dijangka meluluskan undi untuk menarik balik hadiah Nobel Laureate dari jawatan presiden kehormatnya, lapor The Independent pada 3 Nov.

Aung San Suu Kyi mendapat pengiktirafan itu pada 1991, tetapi kesatuan pelajar dan para anggota kanan itu kini membentangkan satu gerakan untuk menarik pengiktirafan itu "sebagai satu simbol menolak sikapnya terhadap penghapusan kaum", menurut laporan itu lagi.  

Sumber : CNA/Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan