Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pertama kali, puluhan orang utan Borneo diuji bagi COVID-19

Jabatan Hidupan Liar Sabah mengambil inisiatif untuk melakukan ujian saringan COVID-19 terhadap semua orang utan yang berada dalam jagaan Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok serta di Taman Hidupan Liar Lok Kawi.

Anggaran Waktu Membaca:
Pertama kali, puluhan orang utan Borneo diuji bagi COVID-19

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 13 Sep 2021 11:00PM Dikemas Kini : 14 Sep 2021 08:00AM

KUALA LUMPUR: Jabatan Hidupan Liar Sabah mengambil inisiatif untuk melakukan ujian saringan COVID-19 terhadap semua orang utan yang berada dalam jagaan Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok serta di Taman Hidupan Liar Lok Kawi.

Menurut Penolong Pengarah Jabatan itu Dr Sen Nathan kesemua 30 orang utan itu diuji negatif COVID-19.

Doktor haiwan yang lengkap memakai peralatan perlindungan menjalankan tugas rumit melakukan ujian swab ke atas haiwan yang diancam kepupusan itu pada Selasa lalu (7 Sep).

Ia merupakan ujian COVID-19 yang pertama dijalankan ke atas orang utan di Sabah dan dilakukan selepas seorang kakitangan di pusat pemulihan dan taman hidupan liar tersebut dijangkiti virus berkenaan.

"Ujian saringan COVID-19 telah menjadi perkara penting dalam membantu mengatasi pandemik ini, dan ia turut penting bagi orang utan," kata Dr Nathan.

"Penyakit ini terbukti boleh memudaratkan kesihatan dan menjejas pemulihan mereka."

Pasukan doktor haiwan akan terus memantau semua haiwan itu dengan teliti dan ujian saringan akan dijalankan secara kerap, menurut pegawai berkenaan.

Beberapa haiwan dilaporkan terkena jangkitan COVID-19 sebelum ini. Pada hujung minggu lalu, sebuah zoo di Atlanta mengumumkan beberapa ekor gorilla diuji positif COVID-19. Kucing peliharaan, anjing dan sekurang-kurangnya seekor musang juga dijangkiti.

Malaysia sedang berdepan penularan COVID-19 yang serius disebabkan varian Delta yang lebih mudah berjangkit. Negara itu melaporkan ribuan kes jangkitan baru dan ratusan kematian setiap hari.

Sabah, yang terletak di hujung timur laut Borneo dan mempunyai banyak kawasan hutan serta haiwan yang jarang ditemui, juga sedang berdepan lonjakan kes jangkitan.

Jumlah orang utan Borneo merosot sebanyak lebih 50 peratus sepanjang 60 tahun lalu, menurut WWF sedang tempat tinggal haiwan itu terancam angkara perbuatan manusia menebang kawasan hutan untuk dibuat ladang pertanian.  

Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan