Images
  • baby pampers
    (Gambar hiasan: zelle duda/Unsplash)

Pertama di dunia, bayi di Iraq ini dilahirkan dengan tiga zakar

BAGHDAD: Seorang bayi tiga bulan di Duhok, Iraq, mencatat sejarah kerana dilahirkan dengan tiga zakar. Ini merupakan kes pertama seumpamanya dalam sejarah perubatan.

Bayi berkenaan pada awalnya dibawa ke klinik kerana skrotum yang bengkak. Namun pakar-pakar mendapati ada dua lagi zakar di bahagian tersebut.

Kondisi yang dialaminya dipanggil 'Triphallia'. Insiden ini membuat para doktor terkejut kerana kes sebegini sememangnya sangat jarang berlaku.

Apa yang lebih pelik adalah, bayi tersebut tidak terdedah kepada sebarang bentuk ubat-ubatan semasa dalam kandungan ibunya. Keluarganya juga tidak mempunyai sebarang rekod kelainan genetik.

Menurut agensi berita News18, satu kertas kajian ditulis dua pakar bernama Ayad Ahmed Mohammed dan Shakir Saleem Jabali akhirnya memberi pencerahan terhadap kes ini.

"Triphalia adalah satu keadaan yang tidak dilaporkan sehingga baru-baru ini. Ia menjejas satu dalam setiap 5-6 juta kelahiran. Apa yang kami ketahui, ini kes pertama yang dilaporkan di mana pesakit mempunyai tiga zakar," menurut kertas kajian itu.

News18 melaporkan bahawa bayi tersebut menjalani pembedahan untuk membuang dua zakar kerana ia tidak mempunyai saluran najis.

Pada 2020, TimesNow melaporkan bahawa seorang bayi di Mesir dilahirkan dengan dua zakar yang berfungsi.

Tidak seperti bayi di Iraq, kedua-dua zakar bayi itu tercantum dengan saluran kencing. Dia juga mempunyai dua skrotum. Kondisi yang jarang dialami ini dikenal pasti sebagai sindrom duplikasi kaudal (CDS).

Pakar-pakar menjelaskan, kelainan ini disebabkan pemisahan sel telur untuk menjadi kembar yang gagal berlaku. Ketika itu, bayi tersebut dijangka menjalani pembedahan apabila dia berusia 16 bulan.  

- Agensi berita/AQ/nk

Top