Images
  • masjid

Persiapan urus pengebumian mangsa serangan pengganas dua masjid Christchurch

CHRISTCHURCH: Persiapan sudah bermula untuk mengebumikan mangsa serangan maut di dua masjid di New Zealand, pada Jumaat (15 Mac).

Para pegawai sedang giat menjalankan tugas untuk mengenalpasti mangsa manakala kaum lelaki dan wanita dari Persatuan Muslim New Zealand di Auckland datang ke Christchurch untuk membantu menguruskan jenazah mangsa-mangsa.

Masih ada keluarga-keluarga dilaporkan belum tahu tentang nasib saudara-mara mereka yang berada di dalam dua masjid berkenaan.

Saksi-saksi serta para penduduk di sekitar kawasan masjid-masjid berkenaan pula menceritakan peristiwa mengerikan itu.

"Dari jalan raya hingga ke masjid, kedengaran bunyi tembakan. Sehingga dia sampai ke pintu saya mendengarnya tetapi saya tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku," kata imam Masjid Linwood, Encik Ibrahim Abdelhalim.

"Jadi saya teruskan bersolat tetapi saya mendengar bunyi tembakannya semakin dekat dengan saya. Jadi saya cuba cepat menghabiskan solat saya tetapi saya tidak boleh melakukannya kerana mereka sudah hampir. Ada dua lelaki dan mereka melepaskan tembakan secara rambang," tambah beliau.

Seorang penduduk Christchurch, Encik Abdikina Ali-Hassarn pula berkata: "Saya kini takut untuk ke masjid kerana saya amat takut ia mungkin terjadi lagi."

Semasa berkunjung ke Christchurch, Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern bertemu para anggota masyarakat Islam dan pemimpin mereka untuk memberi jaminan bahawa New Zealand tetap bersama mereka.

Beliau mengulangi perpaduan New Zealand dengan masyarakat Islamnya.

PM Ardern juga berkata negara itu dan rakyatnya sedia menghulurkan bantuan.
Kawasan-kawasan di sekitar Masjid Al Noor dan Masjid Linwood pula masih dikepung polis.

Mayat para mangsa dibawa keluar dari masjid-masjid itu ke hospital sepanjang hari ini. 

- CNA/MU/na

Top