Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Persiapan Raya keluarga malang hangus dijilat api

Pepatah Melayu berbunyi, malang tidak berbau. Mungkin kata-kata ini sesuai untuk menggambarkan nasib malang yang menimpa Samsudin Muhammad sekeluarga pada Jumaat (24 Mei), apabila rumah mereka dengan sekelip mata rentung dijilat api.

Anggaran Waktu Membaca:
Persiapan Raya keluarga malang hangus dijilat api

(Gambar: Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia)

Diterbitkan : 25 May 2019 08:35AM Dikemas Kini : 25 May 2019 08:39AM

RANTAU PANJANG: Pepatah Melayu berbunyi, malang tidak berbau. Mungkin kata-kata ini sesuai untuk menggambarkan nasib malang yang menimpa Samsudin Muhammad sekeluarga pada Jumaat (24 Mei), apabila rumah mereka dengan sekelip mata rentung dijilat api.

Astro Awani melaporkan dalam kejadian jam 5.15 petang itu, Encik Samsudin berada di halaman rumah dan hanya mampu melihat api yang marak bermula dari rumah jiran sebelahnya.

"Saya hanya sempat menyelamatkan dua buah motosikal, televisyen dan beberapa helai pakaian kerana api marak terlalu cepat.

"Kejadian ini berlaku sekelip mata sahaja, namun saya bersyukur kerana ketika kebakaran berlaku, isteri saya, Fatmah Mahamad, 31 tahun, tidak ada di rumah kerana keluar mengambil dua anak di sekolah," kata beliau seperti dilaporkan Astro Awani.

BAJU, PERSIAPAN RAYA HANGUS

Encik Samsudin menambah, beliau cuba untuk masuk ke dalam rumah namun terpaksa keluar balik kerana tidak tahan dengan bahang api yang terlalu panas.

"Semua baju, persiapan Raya kami sekeluarga hangus terbakar.

"Lebih menyedihkan lagi, duit yang disimpan di dalam almari baju sebanyak RM9,000 (S$2960) hangus terbakar," kata pemilik kedai berusia 31 tahun itu.

"Melihat api yang semakin marak di depan mata, saya tidak mampu berbuat apa-apa," katanya.

Rumah Encik Samsudin merupakan satu daripada tiga rumah yang terbakar semalam.

MALANG MENIMPA KETIKA BERNIAGA DI BAZAR RAMADAN

Seorang lagi mangsa, Khatijah Mahmud, 49 tahun, tidak dapat menahan sebak selepas melihat rumah yang didiamimya sekeluarga sejak lebih 17 tahun musnah dijilat api dalam sekelip mata.

"Ketika kejadian saya keluar berniaga di bazar Ramadan di pekan Rantau Panjang dan terkejut sebaik sahaja menerima panggilan telefon memberitahu rumah kami terbakar," kata beliau.

Astro Awani melaporkan, Cik Khatijah bergegas pulang sejurus mendapat panggilan telefon. Namun apabila tiba, seluruh rumahnya dan isinya sudah hangus dimamah api, termasuk barang kemas dan wang simpanannya.

"Kini saya hilang tempat berteduh dan lebih menyedihkan lagi kejadian di luar dugaan ini berlaku di saat umat Islam sedang sibuk melakukan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi," keluh Cik Khatijah.

Ketua Balai Bomba Rantau Panjang Imran Ismail, berkata pihaknya menerima aduan pada 5.21 petang dan sampai ke tempat kejadian lima minit kemudian.

"Sebaik sampai, dua daripada tiga buah rumah sudah 100 peratus terbakar dan kami berjaya mengawal kebakaran dalam masa lima minit daripada teruk merebak.

"Setakat ini jumlah kerugian dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan," kata Encik Imran.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan