Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Permintaan durian ancam bekalan air sebahagian penduduk M'sia

Permintaan durian yang meningkat dari China mengancam bekalan air bagi sebahagian penduduk di Malaysia, khususnya orang asli.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Permintaan durian yang meningkat dari China mengancam bekalan air bagi sebahagian penduduk di Malaysia, khususnya orang asli.

Mentelah lagi, pasaran durian sudah disebut Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia sebagai antara sumber kekayaan baru bagi para penduduk di sana.

Dalam tempoh lapan tahun dari 2009 hingga 2017, lebih 1.5 juta kg durian dieksport ke China dari Malaysia bernilai hampir S$20 juta.

Lebih daripada itu, menurut perangkaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, satu hektar kebun durian dijangkakan boleh memberi keuntungan sekitar S$28,500.

Maka tidak hairanlah jika ada kemungkinan lebih ramai usahawan pada masa akan datang ingin menceburi pasaran durian yang semakin berkembang.

Bagaimanapun, perluasan pasaran durian di Malaysia turut menjejas usaha-usaha memelihara persekitaran alam semula jadi.

KERJA-KERJA PEMBALAKAN

Ini dapat dilihat dengan beberapa hutan di negeri-negeri seperti di Perak dan juga Kelantan sudah mula dibersihkan demi memberikan laluan kepada kerja-kerja pembangunan kebun-kebun durian.

Ini secara tidak langsung mengganggu habitat kehidupan liar dan juga menjejas kehidupan seharian para penduduk tempatan.

Usaha pihak BERITAmediacorp untuk memasuki hutan-hutan ini juga tidak kesampaian, selepas diberitahu bahawa kehadiran kami tidak menyenangkan “beberapa pihak”.

"Sejak akhir-akhir ini yang kita terlampau terkilan sangat dengan pembukaan hutan yang begitu banyak untuk bukan sahaja kelapa sawit tapi untuk juga penanaman Musang King.

"Jadi, kita bukan kita tidak mahu membantu dari segi ekonomi tetapi sekarang ini dengan keadaan hutan Malaysia yang tinggal sedikit dan juga kawasan-kawasan tadahan air yang telah dirosakkan, sungai-sungai yang telah rosak itu membimbangkan untuk masyarakat kita," kata Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Shariffa Sabrina Syed Akil.

ORANG ASLI TERUK TERJEJAS

Menurut Cik Shariffa Sabrina, PEKA, giat aktif ke kawasan-kawasan terjejas di beberapa negeri untuk memberikan sokongan dan bantuan.

Golongan orang asli dan para penduduk tempatan di kawasan pendalaman, menurut PEKA, adalah yang paling teruk terjejas kerana tidak mempunyai sumber-sumber semula jadi yang bersih untuk kerja-kerja harian mereka.

Cik Shariffa Sabrina menambah: "Orang-orang bandar mungkin mereka rasa tidak terjejas kerana mereka senang, buka air paip, air bersih keluar. Tetapi, yang banyak terjejas ialah orang-orang asli, orang-orang kampung kerana mereka bergantung air dari gunung-gunung, dari sungai.

"Jadi, bila gunung-gunung itu ditarah, bukit-bukit tu ditarah, sungai-sungai itu semua rosak dan kita kena ingat bila kita tanam saja pokok-pokok durian ke apa, mereka akan letak bahan-bahan kimia yang banyak."

Beginilah antara kesan yang berlaku sedang perkembangan pasaran durian memenuhi permintaan luar yang meningkat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan