Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Permaisuri M'sia dakwa 'pembekal sambal belacan rasmi' kepada mendiang Lee Kuan Yew

Tanpa disedari ramai, ‘diplomasi sambal belacan’ secara tidak langsung sudah menjadi instrumen mengeratkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Permaisuri M'sia dakwa 'pembekal sambal belacan rasmi' kepada mendiang Lee Kuan Yew

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkongsi kisah menarik mengenai sambal belacan hasil air tangannya. (Gambar: Bernama, @airtangan_tunkuazizah/Instagram)

Diterbitkan : 25 Oct 2019 08:29PM Dikemas Kini : 25 Oct 2019 08:33PM

KUALA LUMPUR: Tanpa disedari ramai, ‘diplomasi sambal belacan’ secara tidak langsung sudah menjadi instrumen mengeratkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Singapura.

Perkara itu akhirnya diketahui umum apabila Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini (25 Okt) berkongsi kisah menarik mengenai sambal belacan hasil air tangannya yang digemari oleh seorang pemimpin dunia.

Siapa sangka sambal belacan yang sudah menjadi kelaziman untuk dinikmati bersama nasi putih mahupun juadah masakan lain bagi rakyat Malaysia turut memikat hati mantan Perdana Menteri Singapura iaitu mendiang Lee Kuan Yew.

Dalam satu hantaran di laman Twitter, Tunku Azizah yang lebih dikenali dengan nama ‘cheminahsayang’ dalam platform media sosial itu menarik perhatian bahawa beliau pada masa dahulu merupakan pembekal rasmi sambal belacan kepada mendiang Encik Lee.

Malah, sambal belacan hasil air tangan Raja Permaisuri Agong masih dibekalkan ke Singapura dan kini dinikmati oleh anak mediang Encik Lee yang merupakan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

“Yang ni, dah lama saya nak share dengan rakyat Malaysia .... saya dulu ... the official sambal belacan supplier to the Prime Minister of Singapore .. Encik Lee Kuan Yew ... and now supply kepada anaknya PM Lee juga,” ciapnya.

Tunku Azizah pada masa sama turut berkongsi gambar sepucuk surat diutus oleh mantan Perdana Menteri Lee yang dimuat naik dalam akaun Instagram ‘airtangan_tunkuazizah’.

“Enam paket (sambal) belacan yang Tuanku berikan kepada saya sangat sedap. Saya menikmatinya bersama dua anak lelaki saya. Semuanya habis dimakan. Ia sambal belacan terbaik yang pernah kami rasai. Jika boleh keluarga saya mahu menikmatinya lagi.

“Maaf kalau menyusahkan. Sambal ini menjadikan banyak hidangan lebih sedap."
Surat berkenaan bertarikh 23 Julai 2009.

Tunku Azizah yang memuat naik gambar berkenaan pada 2 Mei 2018 di laman Instagram berkenaan menyifatkan ia sebagai surat yang paling bermakna untuknya.
“…kerana sambal belacan…terharu sangat,” titah Seri Paduka.

Akaun Instagram ‘airtangan_tunkuzaizah’ memaparkan koleksi masakan oleh Baginda yang memang dikenali sebagai seorang anak raja yang gemar memasak.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan