Images
  • mb perlis azlan man
    (Gambar: Agensi berita)

Perlis bakal beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara

KANGAR: Perlis yakin ia akan beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak lama lagi, berikutan tahap vaksinasi di negeri itu sudah mencapai 36.1 peratus ketika ini.

Menteri Besar Perlis Azlan Man menerusi catatan di laman Facebooknya berkata Perlis masih memerlukan sekitar 3.9 peratus kadar vaksinasi penduduk dewasa bagi membolehkan ia beralih ke Fasa Tiga PPN.

Sebelum ini kerajaan menetapkan bagi membolehkan Fasa Dua PPN beralih ke Fasa Tiga, nilai ambang yang ditetapkan adalah usaha vaksinasi dua dos perlu mencapai kadar 40 peratus, penggunaan ICU di tahap selamat dan kes harian COVID-19 berada di bawah angka 2,000.

Sementara itu, beliau berkata pada sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara maya yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Isnin (19 Jul) membuat beberapa keputusan penting berkaitan PPN yang melibatkan negeri-negeri yang berada di Fasa Dua PPN.

“Saya juga telah mengesyorkan supaya semua sektor peruncitan di seluruh Malaysia dibenarkan beroperasi semula termasuklah kedai makan, restoran, gerai makan dan lain-lain lagi, bagaimanapun syaratnya semua petugas dan pelanggan setiap premis runcit mestilah sudah menerima dua dos vaksinasi selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya.

Perlis merupakan antara lapan negeri yang telah beralih ke Fasa Dua PPN setakat ini selain Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

- BERNAMA/HA/ha

Top