Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perlindungan berguna, atau tidak wajar? Keperluan suntikan ketiga vaksin COVID-19 terus dibahas

Meski faedah dos perangsang vaksin COVID-19 jelas bagi golongan dengan daya imun lemah, kesannya bagi masyarakat umum belum terbukti. Malah, tindakan negara mewah bolot vaksin untuk beri suntikan dos ketiga boleh bawa padah, kata sebilangan pakar.

Anggaran Waktu Membaca:
Perlindungan berguna, atau tidak wajar? Keperluan suntikan ketiga vaksin COVID-19 terus dibahas

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 11 Sep 2021 11:26PM Dikemas Kini : 11 Sep 2021 11:30PM

PARIS: Patutkah dos perangsang atau suntikan ketiga vaksin COVID-19 disyorkan bagi masyarakat am?

Ada yang berpendapat ia penting untuk memperkukuh imuniti ketika varian Delta sedang menular. Pihak lain pula merasakan bekalan terhad vaksin patut disalurkan ke negara-negara lain - terutamanya negara di Selatan yang lebih miskin - di mana kebanyakan penduduk belum pun mendapat suntikan pertama.

Perancis adalah antara negara terawal yang mula memberi suntikan ketiga kepada warga emas dan golongan yang mempunyai sistem imun lemah.

Mereka yang layak boleh mendapat suntikan itu enam bulan selepas dos kedua.

Negara-negara yang menawarkan suntikan itu menyatakan dos tambahan adalah wajar kerana vaksin sekarang kurang berkesan terhadap varian Delta dan semakin berkurangan dari masa ke masa.

Pemerintah-pemerintah lain pula telah atau merancang mengambil langkah lebih lanjut: remaja di Israel yang berusia 12 tahun ke atas boleh mendapatkan dos ketiga lima bulan setelah menerima vaksinasi penuh.

Namun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkali-kali menyuarakan bantahannya terhadap langkah sedemikian.

"Kami tidak mahu melihat penggunaan suntikan perangsang secara meluas bagi orang yang sihat yang sudah menerima vaksinasi lengkap," kata ketua WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus kepada wartawan pada Rabu (8 Sep).

Bercakap dari ibu pejabat WHO di Geneva, Dr Tedros menyeru negara-negara agar hindari daripada memberi suntikan vaksin COVID-19 tambahan hingga akhir tahun, sambil menarik perhatian bahawa jutaan orang di seluruh dunia yang masih belum menerima walau satu pun dos vaksin.

"Saya tidak akan berdiam diri ketika syarikat-syarikat dan negara-negara yang mengawal bekalan vaksin global merasakan bahawa golongan miskin di dunia hanya layak mendapatkan sisa saja," tegasnya.

APAKAH MANFAAT DOS RANGSANGAN?

Terdapat kata sepakat saintifik bahawa dos ketiga disyorkan bagi pesakit yang mempunyai daya sistem imun yang lemah, termasuk mereka yang sedang melawan barah atau mereka yang telah menjalani pemindahan organ.

Kajian-kajian mendapati bahawa sistem imun pesakit seperti ini tidak menghasilkan jumlah tinggi antibodi apabila mereka menerima dos vaksin biasa.

Meskipun terdapat kurang data untuk dijadikan sandaran, prinsip yang sama dilanjutkan kepada warga emas yang daya tahan sistem imun tubuh mereka menjadi lemah setelah usia meningkat.

Para saintis bagaimanapun kurang yakin sama ada suntikan perangsang adalah berguna bagi golongan muda dan mereka yang sihat. Tidak ada data sejauh ini, kata sebilangan mereka.

"Kami tidak pasti faedahnya adalah signifikan," kata pakar kardiologi Dr Florian Zores kepada AFP.

"Kita boleh melakukan kajian atau pertimbangkan kumpulan penduduk tersasar, daripada menawarkan dos ketiga kepada semua orang," katanya, sambil menambah bahawa ujian dapat menentukan siapa yang mungkin - atau mungkin tidak - memerlukan suntikan perangsang.

'KESAN BUMERANG'

Persoalan mengenai akses vaksin yang tidak setara yang diketengahkan WHO bukan hanya melibatkan masalah etika tetapi juga dari sudut praktikal, kata pakar.

"Saya sama sekali tidak yakin bahawa negara-negara mewah seharusnya memberikan dos ketiga sebelum sebilangan besar orang di planet ini mendapatkan dua suntikan yang pertama," kata pakar epidemiologi Profesor Antoine Flahault kepada AFP.

Dengan membiarkan virus merebak ke sebahagian besar dunia, negara-negara kaya terdedah kepada "kesan bumerang yang sangat dahsyat".

"Epidemik asing dapat menghasilkan varian baru yang bahkan lebih mudah berjangkit, menular, dan tahan terhadap vaksin sedia ada," jelasnya.

Prof Flahault, yang mengetuai Institut Kesihatan Global di Universiti Geneva, berkata penggunaan dos ketiga secara meluas oleh Israel akan bertindak sebagai eksperimen bagi seluruh dunia.

"Sekiranya manfaat dos ketiga ada ketara, para pakar akan lebih cenderung untuk menyokong syor untuk mengagihkannya," katanya.

"Sekiranya faedahnya tidak begitu bermakna, maka kita harus bertanya pada diri sendiri apakah strategi terbaik," tambah Prof Flahault.

"Adakah kita memberi vaksin kepada orang-orang terkaya di planet ini, memberi mereka faedah sedikit saja sementara mengabaikan mereka yang paling miskin dengan perlindungan minimum?"

"Atau adakah kita harus memvaksinasi seluruh planet dahulu?" 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan