Images
  • muhyiddin yassin
    Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin. (Gambar: Lim Huey Teng/REUTERS)

Perintah darurat M'sia beri kuasa kepada Muhyiddin buat 7 bulan lagi: Analisis politik

SINGAPURA: Pelaksanaan perintah darurat di Malaysia sehingga 1 Ogos bermakna kerajaan PM Muhyiddin berpotensi bertahan selama sekurang-kurangnya tujuh bulan lagi, sedang satu persatu anggota parlimen UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan beliau.

Ini menimbulkan tanda tanya mengenai majoriti yang dimiliki kerajaan untuk memerintah.

Demikian pengamatan pakar politik dari ISEAS - Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, yang dikongsikan dengan BERITAmediacorp.

"Kalau kita perhatikan desas desus mungkin sentimen ahli-ahli politik di Malaysia, banyak sekali desas-desus yang mengatakan bahawa ada yang akan keluar daripada Perikatan Nasional (PN) dan ada yang tidak akan menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yasin," kongsi Dr Norshahril.

Pilihan kedua pula, kata Dr Norshahril, adalah untuk mengadakan pilihan raya, namun ini berisiko mencetuskan gelombang penularan baru jika apa yang berlaku menyusuli pilihan raya negeri Sabah dijadikan sandaran.

BACA: Tidak sesuai adakan PRU sekarang: Dr Mahathir
"Mungkin sudah tidak ada pilihan lain ya kalau-kalau perintah darurat ni tidak dijalankan, pilihan keduanya adalah pilihan raya dan kalau kita kaji semula pengalaman berapa bulan yang lalu apabila pilihan raya negeri Sabah itu dijalankan ia menyebabkan peningkatan kes COVID-19 dan implikasinya sehingga ke hari ini. Justeru juga mungkin ada satu hujah yang mengatakan bahwa ini adalah satu langkah politik yang diambil," jelas beliau.

Hakikatnya, persetujuan Agong untuk melaksanakan perintah darurat diambil kerana kes COVID-19 terus meningkat di negara itu.

Dr Norshahril akur bahawa perintah tersebut merupakan satu mekanisme yang wajar dilaksanakan untuk menyekat penularan pandemik itu yang semakin meruncing dan membimbangkan.

"Kita tahu baru semalam sahaja diumumkan tentang kawalan pergerakan kemudian kurang daripada 24 jam ada satu lagi pengisytiharan iaitu pengisytiharan darurat. Jadi rakyat mungkin keliru kenapa perlu ada dua mekanisme yang berbeza untuk menangani isu COVID-19 ini.

"Mengapa kawalan pergerakan sahaja tidak mencukupi untuk menangani COVID-19 itu? Justeru itulah sebabnya mengapa Perdana Menteri Malaysia mengeluarkan kenyataan memastikan dan untuk mengubah persepsi masyarakat dan juga mengubah salah tanggapan bahawa ini adalah satu rampasan kuasa tentera atau perkara-perkara lain atau satu pendekatan politik," ulas Dr Norshahril.

LAPORAN BERKAITAN:

- BERITAmediacorp/tq

Top