Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perintah berkurung bukan penyelesaian bijak kepada varian Omicron: WHO

Pelaksanaan perintah berkurung bukan satu penyelesaian bijak kepada penularan varian baru COVID-19, Omicron yang terus meningkat sejak kebelakangan ini, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Anggaran Waktu Membaca:
Perintah berkurung bukan penyelesaian bijak kepada varian Omicron: WHO

Ibu pejabat WHO di Geneva. (Gambar: Fabrice COFFRINI/AFP)

Diterbitkan : 05 Dec 2021 09:05PM Dikemas Kini : 05 Dec 2021 09:09PM

GENEVA: Pelaksanaan perintah berkurung bukan satu penyelesaian bijak kepada penularan varian baru COVID-19, Omicron yang terus meningkat sejak kebelakangan ini, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pengarah Serantau WHO Dr Poonam Khetrapal Singh berkata perintah berkurung sekadar salah satu daripada kaedah yang boleh dipertimbangkan namun bukanlah satu-satunya jalan keluar kepada penularan varian baru itu.

"Ia boleh dijadikan sebagai pilihan terakhir kerana pelaksanaan perintah berkurung sebelum ini terbukti melibatkan kos yang tinggi dan menyusahkan orang ramai.

"Justeru langkah-langkah kesihatan awam seperti pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan meningkatkan kadar vaksinasi perlu diberi tumpuan," katanya pada Sabtu (4 Dis).

Omicron berisiko 'sangat tinggi' di seluruh dunia, walaupun wujud ketidakpastian mengenai bahaya dan tahap penularan varian baru itu.

Ia dikesan mempunyai jumlah mutasi lebih 30 kali selain mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi berbanding Delta.

Varian COVID-19 itu yang pertama kali ditemui di Afrika Selatan itu kini sudah merebak ke 38 negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, Belgium, Belanda, Britain, India dan Sri Lanka.

Namun demikian setakat ini, belum ada sebarang kematian dilaporkan yang disebabkan oleh varian baru itu.

Mengulas lanjut, berdasarkan maklumat awal, Dr Poonam menjangkakan dunia bakal menyaksikan lonjakan kes memandangkan kadar penularan COVID-19 melibatkan varian baru itu adalah tinggi.

Namun demikian, katanya, adalah munasabah untuk mengandaikan bahawa vaksin yang sedia ada pada ketika ini mampu memberi perlindungan dan mengelakkan kematian.

Menyentuh mengenai sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan oleh kebanyakan negara, beliau berkata pelaksanaan itu tidak akan menghalang penularan merentasi negara.

Sebaliknya, kata beliau, ia hanya akan menambah beban kepada kehidupan seharian dan mata pencarian.

"Meskipun berkesan namun ia adalah langkah yang sangat mahal dan harus dilihat sebagai pilihan terakhir," jelas beliau lagi.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan