Images
  • arab saudi air strike yemen
    Kemusnahan akibat serangan udara dilancarkan perikatan tentera diterajui Arab Saudi pada 16 Mei (Gambar: Reuters)

Perikatan pimpinan Saudi di Yaman serang Sanaa, kematian dilaporkan

SANAA: Perikatan ketenteraan yang diketuai Arab Saudi di Yaman melakukan beberapa serangan udara ke atas Sanaa, yang dikuasai pihak Houthi, pada Khamis (16 Mei). Serangan tersebut dilakukan selepas pihak Houthi mengaku bertanggungjawab ke atas serangan dron terhadap kemudahan minyak Arab Saudi.

Serangan di Sanaa menyasarkan sembilan tapak ketenteraan di dalam dan sekitar bandar, kongsi para penduduk kepada Reuters. Seorang saksi mengatakan rumah-rumah rosak dalam serangan tersebut dan satu mayat diusung keluar dari runtuhan.

Saluran TV Masirah kendalian pihak Houthi melaporkan enam serangan udara berlaku dan enam orang awam terbunuh manakala berpuluh lagi cedera, termasuk wanita dan kanak-kanak. Jurucakap perikatan tidak segera menjawab permintaan Reuters untuk mengulas.

Menurut kenyataan oleh pihak perikatan yang dilaporkan oleh saluran Al Arabiya TV milik Arab Saudi, perikatan itu menyerang pangkalan dan kemudahan tentera serta tempat simpanan senjata dengan tujuan "melemahkan keupayaan militan Houthi untuk melakukan tindakan pencerobohan".

"Serangan mencapai matlamatnya dengan penuh ketepatan," menurut gabungan itu. Pihaknya menggesa orang awam untuk menjauhkan diri dari kawasan-kawasan yang disasarkan.

Seorang penduduk melaporkan serangan berlaku berhampiran daerah yang padat dengan penduduk dan berkata ambulans dikerah ke kawasan itu, di mana kelihatan terdapat kebakaran dan kepulan asap.

Sanaa dikuasai oleh pihak Houthi sejak pihaknya menggulingkan pemerintahan yang diiktiraf antarabangsa Abd-Rabbu Mansour Hadi pada akhir 2014.

PERIKATAN BERIKRAR BALAS "DENGAN KERAS"

Arab Saudi pada Selasa menyatakan dron bersenjata menyerang dua stesen pam minyak dalam kerajaan itu namun tidak mengganggu pengeluaran atau eksport. Pihak Houthi mengaku bertanggungjawab.

Amiriah Arab Bersatu pada Rabu menyatakan bahawa gabungan yang disokong Barat itu akan "membalas dengan keras" serangan Houthi.

Serangan udara Sanaa dan pertempuran yang tercetus semula di pelabuhan Hodeidah, Yaman, yang mencabuli satu gencatan senjata yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bandar berhadapan Laut Merah itu, boleh menyulitkan usaha damai untuk menamatkan perang empat tahun yang meragut puluhan ribu nyawa, kebanyakannya orang awam dan menyebabkan negara itu menghampiri kebuluran.

- Reuters/TQ/tq

Top