Images
  • gajah

Pergelangan kaki belakang bangkai gajah pygmy dipotong, kata polis Kinabatangan

KINABATANGAN: Kedua-dua pergelangan kaki belakang bangkai gajah pygmy, yang ditemui terapung di Sungai Kinabatangan, didapati dipotong dengan objek tajam, kata Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt Dzulbaharin Ismail pada Ahad (3 Nov).

Beliau berkata bedah siasat ke atas bangkai berkenaan pada Isnin (4 Nov) bagaimanapun sukar menentukan jenis alat pemotong yang digunakan dan sama ada perbuatan itu dilakukan sebelum atau selepas haiwan itu mati.

"Bangkai gajah itu ditemukan dalam keadaan tidak sempurna. Hanya bahagian belakang badan sehingga kaki belakang gajah yang ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

"Veterinar daripada Jabatan Hidupan Liar Sabah Dr Bong Ai Yin mengatakan bangkai gajah itu mungkin hanya tinggal lebih kurang 30 peratus daripada keseluruhan gajah kerana selebihnya telah tiada dipercayai dimakan oleh buaya atau biawak," tambahnya.

Supt Dzulbaharin berkata bedah siasat yang diketuai oleh Dr Bong bersama dua pegawai daripada Unit Penyelamat Hidupan Liar ke atas bangkai itu mendapati gajah berkenaan sudah mati kira-kira seminggu lepas.

Katanya bangkai yang ditemukan di Santuari Hidupan Liar Lot 7, Sungai Kinabatangan ditunda dengan menggunakan bot ke tepi anak Sungai Koyah Kinabatangan untuk dijalankan bedah siasat.

Turut hadir pada bedah siasat itu ialah wakil daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan, Pejabat Hidupan Liar Kinabatangan dan Jabatan Perhutanan.

Supt Zulbaharin berkata hasil bedah siasat yang dijalankan turut mendapati bangkai tersebut dipercayai merupakan gajah jantan jenis pygmy dan pemeriksaan luaran terhadap bangkai itu dengan menggunakan pengesan logam tidak menemui sebarang kesan tembakan atau serpihan peluru pada bangkai itu.

Katanya setakat ini punca kematian gajah itu masih belum dapat dipastikan dan empat sampel sel diambil daripada otot dan kulit gajah berkenaan untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi ujian analisa.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 25(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan akan diklasifikasikan semula setelah laporan bedah siasat penuh diperolehi,” katanya.

- BERNAMA/NA/na

Top