Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perbicaraan tertuduh yang cemarkan Sungai Kim Kim di Johor bermula hari ini

Prosiding perbicaraan kes pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim Kim bermula di Mahkamah Sesyen hari ini (3 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan tertuduh yang cemarkan Sungai Kim Kim di Johor bermula hari ini

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 03 Dec 2019 02:59PM Dikemas Kini : 03 Dec 2019 03:04PM

JOHOR BAHRU: Prosiding perbicaraan kes pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim Kim bermula di Mahkamah Sesyen hari ini (3 Dis).

Perbicaraan dilakukan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob dengan keempat-empat tertuduh - N. Maridass, 35: Wan Jing Chao, 34, (warga Singapura); Yap Loke Liang, 36; dan Sim Wei Der, 50, (warga Singapura) yang dilihat memasuki bilik mahkamah pada pukul 10.29 pagi.

Perbicaraan juga dikendalikan dua pendakwa raya iaitu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Alam Sekitar Putrajaya Nor Azura Jumuddin.

Kes menjadi tumpuan ramai itu sepatutnya memulakan prodising perbicaraan pada 16 Okt lalu, namun ditangguhkan atas permohonan pihak pembelaan kerana peguam terlibat menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi pada hari berkenaan.   

Pada 23 Mac lalu, Maridass, yang juga pemandu lori di syarikat pemprosesan tayar terpakai didakwa melupuskan buangan terjadual iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak ke Sungai Kim Kim, Pasir Gudang dengan menggunakan lori jenis Mitsubishi dan semi trailer tangki sawit.

Pelupusan dilakukan tanpa mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling. 

Tiga pengarah syarikat itu Jing Chao, Loke Liang dan Wei Der, didakwa bersubahat dengan Maridass untuk melupuskan barangan terjadual itu ke dalam Sungai Kim Kim menggunakan kenderaan terbabit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 12.01 tengah malam hingga 1.00 pagi pada 7 Mac lalu di kawasan tapak projek pelebaran jambatan Sungai Kim Kim.

Tuduhan ke atas Maridass dibuat mengikut Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh dihukum di bawah 34 B(4) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun selain denda RM500,000.

Sementara itu, ketiga-tiga pengarah syarikat itu didakwa di bawah Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dibacakan bersama dengan Seksyen 42 akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34B(3) akta sama iaitu dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak melebihi RM500,000.

Maridass diwakili peguam S. Ratakrishna, Jing Chao dan Loke Liang diwakili peguam G. Subramaniam Nair dan Wei Der diwakili peguam Joshua Tay. 

Ketiga-tiga pengarah syarikat itu juga dikenakan 15 lagi pertuduhan, masing-masing di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, akta yang sama.

Pertuduhan itu kerana gagal membuat pemberitahuan mengenai buangan terjadual dan gagal menjalankan pemantauan berkala seperti mana ditetapkan akta itu.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan