Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perbicaraan kes pengubahan wang haram AS$248 juta Riza Aziz pada 6 Jan

Perbicaraan kes Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak yang menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram bernilai AS$248 juta (S$343 juta), hasil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan bermula pada 6 Januari depan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan kes pengubahan wang haram AS$248 juta Riza Aziz pada 6 Jan

Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar: Lai Seng Sin/Reuters)

Diterbitkan : 09 Aug 2019 12:59PM Dikemas Kini : 09 Aug 2019 01:04PM

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak yang menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram bernilai AS$248 juta (S$343 juta), hasil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan bermula pada 6 Januari depan dengan pendakwaan akan memanggil kurang daripada 10 saksi.

Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob menetapkan lapan hari bermula 6 hingga 9 Januari dan 13 hingga 16 Januari 2020 untuk perbicaraan selepas bekas hakim Mahkamah Persekutuan Encik Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan memaklumkan bahawa pihaknya tidak berhasrat untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Perkara itu tidak dibantah oleh peguam Encik Hariharan Tara Singh, yang mewakili Riza dan kemudiannya memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan juga tidak berhasrat dan tidak menerima sebarang arahan untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Encik Sri Ram turut memaklumkan kepada mahkamah kurang daripada 10 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes berkenaan termasuk seorang saksi dari Singapura.

"Pihak pendakwaan juga sudah menyerahkan sebahagian daripada dokumen berhubung kes itu kepada pihak pembelaan hari ini, mengikut Kanun Tatacara Jenayah," katanya yang turut memaklumkan sebahagian dokumen dari Amerika Syarikat (AS) masih belum diterima oleh pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 20 September untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib ketika ditemui pemberita selepas prosiding memaklumkan bahawa dokumen yang diserahkan kepada pembelaan membabitkan beberapa penyata akaun dari Switzerland dan Singapura.

Pada 5 Julai lepas, Riza, 42 tahun, pemilik syarikat Red Granite Pictures, mengaku tidak bersalah terhadap kelima-lima pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem Wolf of The Wall Street itu didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah AS$1.173,104 melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun bernombor 11116073 milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, AS bernombor 123248291 milik Red Granite Productions Inc.

Wang berkenaan didakwa hasil daripada penyelewengan ke atas dana 1MDB.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 April dan 12 Mei 2011 di City National Bank, Los Angeles Main, 525 South Flower Street, Los Angeles, California, AS.

Riza, yang merupakan anak Cik Rosmah hasil perkahwinan sebelumnya, dituduh melakukan kesalahan sama melibatkan AS$9 juta (S$12.45 juta) melalui transaksi pemindahan wang dari akaun serupa pada 10 September 2012 dan 10 Oktober 2012 di tempat sama.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan perbuatan sama berjumlah AS$133 juta (S$184 juta) dan AS$60 juta (S$83 juta) melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun bernombor 81134378 milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun BSI Bank Limited Singapura bernombor 6C02250A milik Red Granite Capital Ltd.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di BSI Ltd, 7 Temasek Boulevard, #32-01 Suntec Tower One, Singapura pada 18 Jun 2012 dan 23 Oktober 2012.

Mengikut pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa berjumlah AS$45 juta (S$62 juta) di tempat sama pada 14 November 2012.

Pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5 juta (S$1.65 juta) atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan