Images
  • najib (3)
    Encik Najib Razak. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Perbicaraan kes Najib Razak dan Arul Kanda bermula 18 Nov

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini (16 Apr) menetapkan 15 hari mulai 18 Nov hingga 17 Jan 2020 untuk perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Encik Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Encik Arul Kanda Kandasamy.

Tarikh perbicaraan itu ditetapkan Hakim Encik Mohamed Zaini Mazlan selepas sebutan kali pertama kes itu di hadapannya.

Sebelum itu Encik Najib, 66 tahun, yang diwakili peguam Encik Muhammad Shafee Abdullah dan Encik Arul Kanda, 43 tahun, yang diwakili Encik N.Sivananthan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan semula secara berasingan terhadap mereka.

“Tarikh bicara ditetapkan 18 Nov hingga 29 Nov 2019 dan 13 Jan hingga 17 Jan 2020,” kata hakim Encik Mohamed Zaini dan turut menetapkan 29 Ogos untuk pengurusan kes tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof memaklumkan bahawa pihak pendakwaan akan memanggil antara 25 dengan 30 saksi.

Pada 12 Dis 2018, Encik Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau dituduh sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri Malaysia, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Anggota Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Feb 2016 dan 26 Feb 2016.

Pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 (S$3,300), mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Encik Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Encik Najib meminda laporan tersebut, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Akta SPRM 2009 jika sabit kesalahan.

Pada 4 Jan 2019, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes Encik Najib dan Encik Arul Kanda dibicarakan bersama.

- BERNAMA/NA/na

Top