Images
  • doan
    Doan Thi Huong, 30 tahun, warga Vietnam. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Perbicaraan kes bunuh Kim Jong-nam ditangguh; Doan tidak sihat

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Malaysia hari ini (14 Mac) menangguhkan perbicaraan kes bunuh Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, selepas tertuduh wanita warga Vietnam dilaporkan tidak sihat untuk memberikan keterangannya.

Hakim Azmi Ariffin menangguhkan perbicaraan itu kepada 1 April selepas peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Doan Thi Huong, 30 tahun, memaklumkan bahawa anak guamnya tidak sihat secara fizikal serta mental dan memohon agar perbicaraan itu ditangguhkan.

"Anak guam saya tidak dapat tidur selama tiga malam dan hanya tidur sejam sahaja sejak pertuduhan terhadap Siti Aisyah ditarik balik.

"Dia tidak sihat secara fizikal dan mental dan saya mohon bicara ditangguhkan pada hari ini. Anak guam juga perlu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Saya mohon belas ihsan dan simpati Yang Arif untuk memberi beliau sedikit ruang," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad tidak membantah permohonan peguam untuk menangguhkan perbicaraan tersebut. Doan sepatutnya membela diri atas pertuduhan membunuh hari ini (14 Mac).

Terdahulu, Hakim bertanya kepada Doan adakah dia tidak sihat. Doan, yang berdiri di kandang saksi dan kelihatan pucat serta tidak bermaya, menjawab bahawa dia "berasa tertekan".

"Saya berhasrat untuk meneruskan kes ini, tetapi malangnya berdasarkan pemerhatian saya, melihat keadaannya, dia tidak sihat, mental atau fizikal. Dia mesti diberi peluang untuk mendapatkan rawatan doktor. Kami akan uruskan surat untuk dia mendapatkan rawatan," katanya.

Encik Hisyam juga memohon kepada mahkamah supaya identiti seorang daripada saksi pembelaan tidak didedahkan secara terperinci oleh pihak media.

Menurut beliau, ini kerana saksi tersebut adalah saksi penting, di mana komunikasi hanya akan dilakukan melalui sidang video dan rakaman.

Encik Hisyam juga memberitahu bahawa pihaknya akan mengemukakan perwakilan kedua kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan pertuduhan ke atas Doan.

Hakim Azmi bersetuju supaya saksi itu memberi keterangan melalui komunikasi sidang video dan bukan melalui rakaman.

Doan dan Siti Aisyah, seorang warga Indonesia, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas, atas tuduhan membunuh Kim Jong-nam di Dewan Keberangkatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada sekitar 9.00 pagi pada 13 Februari 2017.

Bagaimanapun pada Isnin (11 Mac), Siti Aisyah dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas pertuduhan membunuh selepas pihak pendakwaan memaklumkan untuk menarik balik pertuduhan ke atasnya.

Pada 16 Ogos 2018, mahkamah memerintahkan Siti Aisyah dan Doan membela diri atas pertuduhan membunuh Kim Jong-nam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

- BERNAMA/AI/ai

Top