Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Peraturan kawal selia vape di M'sia ambil kira kandungan cecair, penjualan di pasaran

Kandungan cecair vape dan penjualannya di pasaran adalah antara aspek yang diambil kira dalam proses merangka undang-undang berkaitan kawal selia rokok elektronik (vape).

Anggaran Waktu Membaca:
Peraturan kawal selia vape di M'sia ambil kira kandungan cecair, penjualan di pasaran

Gambar hiasan. (Gambar: Istockphotos)

Diterbitkan : 30 Nov 2019 01:03PM Dikemas Kini : 30 Nov 2019 01:05PM

PUTRAJAYA: Kandungan cecair vape dan penjualannya di pasaran adalah antara aspek yang diambil kira dalam proses merangka undang-undang berkaitan kawal selia rokok elektronik (vape).

Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Lee Boon Chye, berkata hal ini bagi memastikan kandungan cecair vape tidak dicampurkan dengan bahan kimia lain dan penjualannya hanya terhad kepada golongan dewasa sahaja.

"Kami mahu memastikan golongan remaja khususnya bawah 18 tahun tidak terdedah kepada gejala vaping yang akhirnya mengundang kepada ketagihan dan kerosakan akhlak.

"Penjualan rokok elektronik juga wajib dilabelkan jika mengandungi cecair vape bagi memastikan ia tidak dicampurkan dengan bahan yang mengandungi dadah berbahaya untuk keselamatan pengguna," kata Dr Lee.

Dalam undang-undang sedia ada ketika ini, dua peruntukan mengawal penggunaan nikotin iaitu di bawah Akta Racun di mana preskripsi nikotin hendaklah dilakukan oleh pengamal perubatan berdaftar dengan kementerian dan orang biasa sama sekali tidak dibenarkan menjual nikotin.

Justeru, Dr Lee berkata pihaknya juga bekerjasama dengan beberapa kementerian dan agensi terlibat - antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Kewangan dan Polis Diraja Malaysia dalam menggubal penguatkuasaan peraturan tersebut.

"Seperti mana rokok tembakau, kami juga mahu menguatkuasakan penggunaan vape di kawasan terbuka dan tertutup seperti di restoran dan taman-taman awam selain mengambil kira harga jualan dan pelaksanaan cukai.

"Namun demikian, kami masih dalam peringkat permulaan iaitu drafnya telah dihantar kepada AGC (Pejabat Peguam Negara) buat masa ini dan jika tiada halangan, dijangka siap dan dibentangkan di Parlimen sekurang-kurangnya tahun hadapan," ujar beliau.

Dr Lee berkata setakat ini, tiada bukti menunjukkan bahawa remaja lelaki yang dimasukkan ke Hospital Nuklues Labuan akibat menghisap vape pada 8 November lalu menghidapi penyakit Evali.

Penyakit maut yang berlaku di Amerika Syarikat itu berpunca daripada penyalahgunaan produk Vitamin E asetat dan tetrahydrocannabinol (THC) iaitu bahan dadah yang dicampurkan dalam cecair vape.

"Kami masih lagi menyiasat punca kes pesakit di Labuan itu dan tiada tanda yang menunjukkan bahawa dia menghidap penyakit Evali.

"Namun buat masa sekarang di Malaysia, kandungan cecair vape tidak dikesan mempunyai bahan dadah berbahaya itu selain nikotin. Bagaimanapun, penyiasatan dan kajian masih dijalankan secara menyeluruh agar penyakit itu tidak berlaku dalam kalangan perokok vape di Malaysia," katanya.

Penyakit misteri paru-paru tersebut diberi kod nama EVALI iaitu gabungan e-rokok, vape atau produk berkaitan kecederaan paru-paru yang mana sudahpun menyebabkan 39 kematian melibatkan pengguna vape di Amerika Syarikat setakat ini.

Pada 8 November lalu, seorang remaja lelaki dimasukkan ke Hospital Nukleus Labuan dan menerima rawatan untuk kerosakan bahagian dalaman paru-paru. Ia disyaki akibat menghisap vape, menjadikannya kes pertama yang dilaporkan di Labuan. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan