Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perancis tingkatkan kawalan keselamatan ekoran serangan maut di gereja

Presiden Perancis Emmanuel Macron mengumumkan langkah pengawasan di gereja-gereja oleh pasukan tentera Perancis akan ditingkatkan daripada 3,000 kepada 7,000 anggota menyusuli serangan pada Khamis (29 Okt) di Nice yang meragut tiga nyawa.

Anggaran Waktu Membaca:
Perancis tingkatkan kawalan keselamatan ekoran serangan maut di gereja

Serangan pada 29 Okt 2020 berlaku di gereja di bandar Nice, Perancis (Gambar: AFP/Eric Gaillard)

Diterbitkan : 30 Oct 2020 08:41AM Dikemas Kini : 30 Oct 2020 08:47AM

NICE: Presiden Perancis Emmanuel Macron mengumumkan langkah pengawasan di gereja-gereja oleh pasukan tentera Perancis akan ditingkatkan daripada 3,000 kepada 7,000 anggota menyusuli serangan pada Khamis (29 Okt) di Nice yang meragut tiga nyawa.

Langkah keselamatan di sekolah-sekolah juga akan diperketat, kata beliau.

"Agak jelas, Perancis sedang diserang," tambah presiden itu yang juga berikrar negara itu "tidak akan melepaskan nilai-nilai kami".

Perancis menjadi sasaran kemarahan meluas di negara-negara Islam setelah Encik Macron berikrar untuk menentang golongan pelampau selepas kejadian pada 16 Oktober apabila seorang seorang guru sejarah dipenggal kepalanya oleh seorang pelampau kerana menunjukkan kartun menggambarkan Nabi Muhammad kepada murid-murid dalam satu kelas yang mengajar tentang kebebasan bersuara.

Namun ada pihak mendakwa Encik Macron secara tidak adil menyasarkan lima hingga enam juta penganut Islam di Perancis - masyarakat Islam terbesar di Eropah.

Beberapa negara majoriti Muslim telah melancarkan kempen memboikot produk Perancis, sementara para penunjuk perasaan membakar bendera Perancis dan poster Encik Macron ketika bantahan diadakan di Syria, Libya, Bangladesh, Afghanistan, Pakistan dan wilayah Palestin.

Encik Macron pada Khamis menggesa semua penganut agama untuk bersatu dan tidak "tunduk kepada sikap memecah-belah".

PERANCIS BERJAGA-JAGA

Serangan pada Khamis di basilica Notre-Dame di Nice, selatan Perancis menyebabkan tiga orang maut.

Penyerang, seorang pendatang warga Tunisia berusia 21 tahun melaungkan "Allahu Akbar" apabila didekati oleh polis yang menembaknya dan menyebabkannya cedera parah, kata pendakwa anti-pengganasan Perancis, Jean-Francois Picard di satu sidang media.

Para pendakwa anti-pengganasan Perancis sedang menjalankan siasatan ke atas dakwaan berhubung satu "pembunuhan melibatkan pengganas".

'UCAPAN DAMAI'

Menteri luar Perancis Jean-Yves Le Drian menawarkan "mesej perdamaian kepada dunia Islam" pada Khamis, sambil menegaskan bahawa Perancis adalah sebuah "negara yang mengamalkan toleransi".

Di Nice, peristiwa perit serangan militan semasa perayaan Hari Bastille pada 14 Jul 2016, masih segar dalam ingatan. Seorang lelaki telah merempuh lorinnya ke arah orang ramai di sebuah tempat persiaran, membunuh 86 orang.

Ketua pengarah Majlis Agama Islam Perancis (CFCM) Abdallah Zekri, mengecam serangan pada Khamis dan menggesa umat Islam di Perancis untuk membatalkan perayaan Mawlid, "sebagai tanda perpaduan dengan para mangsa dan orang-orang tersayang mereka".

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan