Images
  • anwar ibrahim
    Gambar fail Anuwar Ibrahim. (Gambar: Edgar Su/Reuters)

Perancangan lemah antara faktor pencemaran toksik, kata Anwar

PORT DICKSON: Perancangan lemah antara faktor berlakunya insiden pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.

Anggota Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim berkata insiden yang sedang berlaku ketika ini merupakan satu peringatan bahawa isu keselamatan dan isu pembuangan sisa toksik tidak boleh dipandang ringan.

"Ini satu malapetaka yang besar dan sangat serius. Ia bukan bencana semula jadi tetapi terjadi kerana perancangan yang lemah. Dalam usaha menarik pelabur kita tidak boleh ketepikan isu ini. Keselamatan rakyat dan anak-anak harus diberi keutamaan," katanya semalam (14 Mac).

Encik Anwar berkata demikian sebagai mengulas mengenai pencemaran sisa bahan kimia dipercayai berlaku menyusuli pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, baru-baru ini.

Jumlah mangsa terjejas akibat insiden pembuangan sisa kimia, Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang ditempatkan di Medic Base, sejak 11 Mac hingga 12.00 tengah hari tadi, merekodkan jumlah seramai 1,906 orang dengan 276 kes dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

- BERNAMA/SM/sm

Top