Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penyokong fahaman tegar Indonesia tunjuk perasaan, tuduh Facebook "bersikap diskriminasi"

"Kami mahu memberi peringatan kepada Facebook supaya tidak bersikap berat sebelah," kata seorang jurucakap FPI, Slamet Maarif.

Anggaran Waktu Membaca:
Penyokong fahaman tegar Indonesia tunjuk perasaan, tuduh Facebook "bersikap diskriminasi"

Penunjuk perasaan di luar ibu pejabat Facebook. 12 Jan 2018. (Gambar: Reuters/Darren Whiteside)

Diterbitkan : 13 Jan 2018 08:37AM Dikemas Kini : 13 Jan 2018 08:40AM

JAKARTA: Beratus-ratus penyokong fahaman tegar mengadakan tunjuk perasaan di luar ibu pejabat Facebook di Jakarta, menuduh gergasi media sosial itu sebagai bersikap diskriminasi kerana menghalang beberapa laman yang dikendalikan oleh kumpulan-kumpulan tegar, yang didakwa menyebarkan kebencian.

Para penunjuk perasaan, yang kebanyakannya berpakaian putih dan termasuk anggota kumpulan tegar Front Pembela Islam (FPI), berarak dari sebuah masjid ke pejabat Facebook di ibu kota negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

"Kami mahu memberi peringatan kepada Facebook supaya tidak bersikap berat sebelah," seorang jurucakap FPI, Slamet Maarif memberitahu para wartawan.

"Terdapat banyak akaun yang menyebarkan kebencian terhadap Islam dan para ulama namun masih dibenarkan beroperasi. Terdapat juga akaun-akaun mengenai bantuan kemanusiaan Islam tetapi ia disekat," kata Encik Slamet, sambil menambah kumpulan itu masih merancang untuk menggunakan Facebook dan berhasrat untuk membuka akaun-akaun baru.

Menurut Facebook, dasarnya adalah untuk memadam kandungan yang melanggar piawai masyarakatnya.

"Piawai masyarakat kami dibuat untuk mencegah pertubuhan-pertubuhan atau individu daripada menggalak kebencian atau keganasan terhadap mereka yang berlainan perdapat," menurut seorang wakil syarikat tersebut, yang namanya enggan didedahkan.

Seorang jurucakap bagi Kementerian Kemasyarakatan Indonesia, Semuel Pangeparan berkata: "Kami tidak pernah meminta supaya akaun-akaun FPI ditutup."

Sebahagian kumpulan berfahaman tegar Indonesia menggunakan media sosial secara meluas dan FPI lazimnya mempunyai sekitar 100 akaun Facebook serta wadah-wadah media sosial yang lain seperti Twitter.

Tunjuk perasaan semalam (12 Jan) itu diadakan secara aman, meskipun lebih 1,200 pegawai polis dikerahkan untuk mengawal keadaan di pejabat Facebook itu, menurut laporan media.

Rakyat Indonesia adalah antara yang paling kerap menggunakan media sosial dan Facebook mempunyai 115 juta pengguna pada suku kedua 2017, menurut laporan media memetik pengurus negaranya.

Ini bermakna Indonesia menduduki tangga keempat dalam ranking global selepas Amerika Syarikat, India dan Brazil.

Sesetengah penunjuk perasaan merakam video secara langsung ke laman Facebook.

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan