Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penyokong Ahmad Zahid berkumpul di SPRM

Kira-kira 200 penyokong Dr Ahmad Zahid Hamidi berkumpul di hadapan bangunan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada malam Khamis (18 Okt) untuk menandakan perpaduan bersama Presiden UMNO itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Penyokong Ahmad Zahid berkumpul di SPRM

Dr Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 18 Oct 2018 11:50PM Dikemas Kini : 18 Oct 2018 11:55PM

PUTRAJAYA: Kira-kira 200 penyokong Dr Ahmad Zahid Hamidi berkumpul di hadapan bangunan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada malam Khamis (18 Okt) untuk menandakan perpaduan bersama Presiden UMNO itu.

Kumpulan yang diketuai oleh Presiden Pemantau Malaysia Baru, Lokman Noor Adam mula berkumpul sejak pukul 8.00 malam dan antara mereka memakai baju kemeja-T berwarna jingga bertulis 'Lokap SPRM' bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap penahanan Dr Ahmad Zahid oleh SPRM hari ini (18 Okt).

Isteri Encik Ahmad Zahid, Hamidah Khamis dan anaknya, Nurul Hidayah turut menyertai kumpulan itu.

Dalam ucapannya, Cik Hamidah mendakwa Dr Ahmad Zahid pernah ditawarkan supaya meninggalkan UMNO kerana parti itu dikatakan tidak lagi diterima rakyat dan patut dibubarkan.

Namun menurut Cik Hamidah, suaminya berkata selagi ada nyawa, beliau tidak akan meninggalkan atau menyerahkan UMNO kepada Pakatan Harapan.

Sementara itu, Encik Lokman yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata penahanan Dr Ahmad Zahid adalah satu cubaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk melemahkan dan memusnahkan UMNO.

“Apabila ‘Jeneral’ UMNO ditahan, mereka mahu lihat kita (UMNO) akan lemah dan longlai. Mereka boleh tekan kita tetapi kita akan lawan, lagi kuat kita lawan demi UMNO,” kata beliau.

Encik Lokman juga mendakwa penahanan Dr Ahmad Zahid dibuat kerana presiden parti enggan tunduk kepada desakan untuk membubarkan UMNO.

“Ada di kalangan pemimpin UMNO ditawarkan pihak tertentu dengan jawatan dan wang ringgit untuk meninggalkan UMNO,” katanya.

Dr Ahmad Zahid ditahan SPRM hari ini (18 Okt) berhubung siasatan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan.

SPRM dalam kenyataannya memaklumkan bahawa Dr Ahmad Zahid akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

SPRM menyatakan bahawa Dr Ahmad Zahid ditahan pada pukul 3.15 petang di ibu pejabat SPRM dan akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pukul 8.00 pagi Jumaat (19 Okt) untuk pertuduhan itu. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan