Images
  • lembu potty trained
    Para saintis berkata mereka berjaya melatih lembu-lembu untuk membuang air kecil di sebuah kawasan tandas dikhususkan. (Gambar: Institut Kajian bagi Biologi Haiwan Ladang/AFP)

Penyelidik iklim berjaya latih lembu buang air kecil di jamban khas

WELLINGTON: Para saintis berkata mereka berjaya melatih lembu-lembu untuk membuang air kecil di sebuah kawasan tandas yang dikhususkan sebagai sebahagian daripada program yang bertujuan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Pasukan penyelidik dari New Zealand dan Jerman mengakui bahawa idea itu pada asalnya hanya satu jenaka tetapi berkata usaha menangani sisa cecair lembu yang kaya dengan nitrogen boleh membawa manfaat sebenar iklim dalam jangka panjang.

"Jika kami boleh mengumpulkan 10 atau 20 peratus air kencing, ini mencukupi untuk mengurangkan dengan ketara pelepasan gas rumah hijau dan proses larut resap nitrat," kata Profesor Douglas Elliffe dari Universiti Auckland.

Profesor Elliffe berkata nitrogen dalam air kencing lembu lama-kelamaan akan terbahagi kepada dua bahan bermasalah iaitu nitrat oksida, gas rumah hijau yang kuat, serta nitrat, yang terkumpul di dalam tanah dan kemudiannya melarut resap ke sungai.

Nitrat oksida membentuk sekitar lima peratus pelepasan gas rumah hijau sejagat dan ia hanya kurang 10 peratus daripada jumlah keseluruhan di New Zealand, menurut data rasmi, dengan lebih separuh berhubung kait dengan haiwan ternakan.

Penyelidik Lindsay Matthews berkata idea untuk melatih lembu supaya membuang air kecil di tandas supaya air kencingnya boleh dikumpulkan serta dirawat pertama kali terlintas di minda beliau apabila seorang penyampai radio mewawancara beliau pada 2007 dan beliau hanya bergurau tentang perkara tersebut.

"Reaksi orang ramai adalah 'saintis gila' tetapi sebenarnya, ia ada asasnya," ujar beliau.

Bekerjasama dengan rakan-rakan sekerja di Jerman, para saintis menggunakan ganjaran makanan untuk melatih 16 anak lembu untuk membuang air kecil di sebuah jamban. Mereka berkata hasilnya serupa dengan apa yang boleh dijangkakan daripada seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.

Profesor Elliffe berkata kajian itu, diterbitkan minggu ini dalam jurnal 'Current Biology', menyediakan "bukti konsep" bahawa melatih lembu adalah tidak mustahil.

Beliau berkata cabarannya adalah bagi meluaskan konsep itu untuk melatih kelompok besar lembu dan menyesuaikannya bagi lembu-lembu dalam persekitaran seperti di New Zealand, di mana haiwan hidup di tempat terbuka berbanding meluangkan sebahagian besar masanya di bangsal.

Berkebun menghasilkan sekitar separuh daripada pelepasan gas rumah hijau New Zealand, kebanyakannya dalam bentuk metana dan nitrat oksida.

Ekonomi New Zealand yang bergantung kepada perkebunan, iaitu sesuatu yang luar biasa bagi sebuah negara maju, bermakna metana membentuk sekitar 43.5 peratus daripada pelepasan gas negara itu. Ini bermakna hampir sama dengan jumlah karbon dioksida yang dijana sumber-sumber seperti bahan bakar fosil.

Negara Pasifik Selatan itu menjalankan banyak projek penyelidikan yang meneliti huraian-huraian yang mungkin dicapai seperti pembiakan ternakan yang melepaskan kadar rendah metana, menggunakan makanan yang mengurangkan pelepasan gas bahkan juga memvaksin haiwan sehingga ia menghasilkan gas yang kurang berbahaya. 

- AFP/FZ/fz

Top