Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penyata kad kredit Najib tunjukkan RM3.3 juta dibelanja dalam sehari

Mahkamah Tinggi Malaysia hari ini (15 Jul) diberitahu bahawa dua kad kredit milik Najib Razak digunakan untuk membelanjakan RM3.3 juta (S$1.08 juta) dalam masa sehari di De Grisogono iaitu butik barang kemas mewah di Itali pada 2014.

Anggaran Waktu Membaca:
Penyata kad kredit Najib tunjukkan RM3.3 juta dibelanja dalam sehari

Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 15 Jul 2019 09:02PM Dikemas Kini : 15 Jul 2019 09:11PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Malaysia hari ini (15 Jul) diberitahu bahawa dua kad kredit milik Najib Razak digunakan untuk membelanjakan RM3.3 juta (S$1.08 juta) dalam masa sehari di De Grisogono iaitu butik barang kemas mewah di Itali pada 2014.

Perkara itu didedahkan oleh Naib Presiden Kanan Ambank yang bertanggungjawab bagi kebenaran kad kredit dan pengurusan penipuan, Yeoh Eng Leong, 58 tahun, pada hari ke-37 perbicaraan mantan perdana menteri itu berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta (S$13. 86 juta).

Saksi ke-47 pendakwaan itu berkata sejumlah RM456,360.51 (S$150,000) dibelanjakan menggunakan kad kredit Visa Platinum dan RM2,864,309.54 (S$945,000) menggunakan kad kredit Master Platinum.

Menurut saksi itu perbelanjaan sakan itu berlaku pada 8 Ogos 2014.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lufti Mohamed.

Budiman Lutfi: Berapakah jumlah had penggunaan kedua-dua kad kredit tersebut?

Yeoh: Had penggunaan kedua-dua kad ialah RM3 juta.

Budiman Lutfi: Ada apa-apa bayaran dibuat untuk jumlah itu?

Yeoh: Ya. Untuk Kad visa, (pembayaran) RM449,586.95 telah dibuat sementara untuk kad Master RM2, 833,147.21.

Saksi itu juga berkata pada awal Januari 2015, sebanyak RM466,330.11 (S$153,857.37) lagi dibelanjakan di Chanel, butik eksklusif di Honolulu, Amerika Syarikat, menggunakan kedua-dua kad kredit tersebut.

Beliau berkata kad-kad itu juga digunakan untuk membuat bayaran RM127,017.46 (S$41,907.16) di Hotel Shangri-La di ibu kota Thailand.

Sementara itu. semasa pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib, saksi itu bersetuju bahawa menurut penyata kad kredit bertarikh April 2015, bayaran terakhir dibuat oleh seorang yang bernama Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC).

Semasa pemeriksaan semula oleh Budiman Lutfi, Yeoh berkata semua pembayaran dibuat melalui akaun semasa Ambank Najib yang berakhir dengan nombor 880.

Beliau juga memberitahu bahawa Najib tidak mengambil tindakan berhubung penyata kad kredit tersebut.

Najib, 66 tahun, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta (S$13 juta). 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan