Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penunjuk perasaan Myanmar ditembak di kepala minggu lalu meninggal dunia

Seorang wanita yang ditembak di kepalanya minggu lalu ketika polis cuba menyuraikan para penunjuk perasaan di ibu negara Myanmar meninggal dunia pada Jumaat (19 Feb), kata saudara lelakinya.

Anggaran Waktu Membaca:
Penunjuk perasaan Myanmar ditembak di kepala minggu lalu meninggal dunia

Tugu peringatan bagi Mya Thwate Thwate Khaing, yang ditembak semasa tunjuk perasaan di Yangon, Myanmar. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 19 Feb 2021 06:10PM Dikemas Kini : 19 Feb 2021 06:15PM

YANGON: Seorang wanita yang ditembak di kepalanya minggu lalu ketika polis cuba menyuraikan para penunjuk perasaan di ibu negara Myanmar meninggal dunia pada Jumaat (19 Feb), kata saudara lelakinya.

Ia merupakan kematian pertama dalam kalangan para penunjuk perasaan yang menentang rampasan kuasa tentera sejak bantahan-bantahan mula diadakan dua minggu lalu.

Cik Mya Thwate Thwate Khaing, 20 tahun, bergantung pada sistem sokongan hidup sejak dimasukkan ke hospital pada 9 Februari, setelah beliau terkena peluru hidup semasa bantahan di ibu negara, Naypyidaw, menurut para doktor.

"Saya berasa sangat sedih dan tiada apa yang boleh saya katakan," kata saudara lelakinya, Encik Ye Htut Aung melalui telefon.

Kematiannya juga disahkan oleh hospital tempat beliau dirawat.

"Kami mengesahkan kematiannya pada pukul 11 pagi," kata seorang doktor, yang enggan namanya didedahkan. "Kami telah menghantar mayatnya untuk diperiksa."

Cik Mya Thwate Thwate Khaing, seorang pekerja kedai runcit, ialah antara ratusan ribu rakyat di merata negara itu yang membanjiri jalanan setelah pemimpin pemerintah awam Aung San Suu Kyi disingkirkan dalam rampasan kuasa tentera.

Jumaat menandakan dua minggu sejak bantahan mula diadakan setiap hari terhadap rampasan kuasa tentera serta penangkapan Cik Aung San Suu Kyi dan tokoh-tokoh kanan lain dari parti pemerintah.

Cik Mya Thwate Thwate Khaing, satu-satunya penunjuk perasaan yang terbunuh sejak rampasan kuasa itu bermula, kini terkenal di seluruh Myanmar dan kematiannya telah menarik perhatian antarabangsa.

Jurucakap tentera merangkap timbalan menteri penerangan Zaw Min Tun mengesahkan minggu ini bahawa wanita itu telah ditembak, dan mengatakan pihak berkuasa akan terus menyiasat kes tersebut.

Bantahan di kota dan bandar seluruh negara berlangsung secara lebih aman berbanding tindakan keras yang menyebabkan pertumpahan darah dalam bantahan-batahan sepanjang hampir 50 tahun pemerintahan tentera sehingga 2011.

Namun polis telah melepaskan peluru getah beberapa kali untuk menyuraikan orang ramai. Pihak tentera menyatakan seorang anggota polis mati akibat kecederaan yang dialami dalam satu bantahan.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan