Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penunjuk perasaan baling cat, telur pada mahkamah tuntut aktivis Thai dibebaskan

Aktivis penuntut Parit Chiwarak - yang dikenali dengan gelaran "Penguin" - sudah ditahan reman sejak didakwa pada bulan Februari di bawah undang-undang fitnah yang ketat.

Anggaran Waktu Membaca:
Penunjuk perasaan baling cat, telur pada mahkamah tuntut aktivis Thai dibebaskan

Penunjuk perasaan membaling cat, telur dan tomato di depan mahkamah. (Gambar: AFP/Jack TAYLOR)

Diterbitkan : 02 May 2021 10:36PM Dikemas Kini : 02 May 2021 10:39PM

BANGKOK: Ratusan penunjuk perasaan di Thailand membaling cat merah, tomato dan telur pada pintu masuk sebuah mahkamah di Bangkok hari ini (2 Mei) menuntut agar semua tahanan politik dibebaskan, termasuk seorang aktivis yang dimasukkan ke hospital selepas mogok lapar.

Aktivis penuntut Parit Chiwarak - yang dikenali dengan gelaran "Penguin" - sudah ditahan reman sejak didakwa pada bulan Februari di bawah undang-undang fitnah yang ketat di negara itu. Dia berulang kali tidak dibenarkan dibebaskan atas ikat jamin.

Dia berdepan lebih 12 tuduhan atas peranannya dalam tunjuk perasaan pada tahun lalu terhadap pentadbiran Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha, yang juga menggesa perubahan kepada kerajaan yang tidak dapat digugat.

Hari ini, ratusan penunjuk perasaan berhimpun di depan Mahkamah Jenayah Bangkok untuk menuntut pembebasan Penguin dan aktivis lain yang ditahan kerana terlibat dalam gerakan tersebut.

"Kami di sini hari ini untuk menunjukkan bahawa terdapat ketidakadilan," laung ketua penunjuk perasaan.

Para penunjuk perasaan itu melaungkan "bebaskan tahanan politik" dan menunjukkan isyarat tiga jari - lambang tentangan terhadap gerakan pembangkang.

Mereka membaling cat merah pada pintu masuk mahkamah, di mana mereka juga menampal poster-poster hakim yang mereka percaya menolak ikat jamin Penguin.

Para penunjuk perasaan itu juga melontar telur dan tomato ke pekarangan mahkamah, di mana polis sedang mengawal menggunakan perisai perlindungan rusuhan.

Menjelang pukul 6.00 petang, kumpulan itu bersurai.

Sejak memulakan mogok lapar pada 16 Mac, berat badan Penguin turun 12 kilogram dan para pegawai memindahkannya ke sebuah hospital pada Jumaat (30 Apr) di tengah-tengah kebimbangan terhadap kesihatannya yang memburuk.

Tunjuk perasaan yang dipimpin para penuntut di Bangkok pada tahun lalu itu menarik puluhan ribu penyokong semasa kemuncaknya. Namun gerakan itu sudah melemah tahun ini di tengah-tengah sekatan ke atas perhimpunan awam disebabkan kenaikan kes COVID-19.

Gerakan itu memecahkan larangan-larangan yang sudah lama termaktub, dengan menggesa agar reformasi dimulakan di negara di mana keluarga diraja dianggap sebagai tidak boleh diusik dan dihormati selama berdekad-dekad.

Raja dan keluarga dilindungi oleh undang-undang lese majeste atau undang-undang derhaka yang ketat, yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun atas setiap pertuduhan.

Sekurang-kurangnya 70 aktivis dari gerakan itu sedang berdepan dakwaan fitnah di Thailand.

Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan