Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penunjuk perasaan antikerajaan terus berdegil; sekali lagi berhimpun di pusat bandar Bangkok

Beratus-ratus penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun semula di pusat perniagaan Ratchaprasong di Bangkok pada petang Khamis (15 Okt), setelah tunjuk perasaan yang diadakan sebelum itu di luar Bangunan Kerajaan dileraikan oleh polis pada awal pagi tadi.

Anggaran Waktu Membaca:
Penunjuk perasaan antikerajaan terus berdegil; sekali lagi berhimpun di pusat bandar Bangkok

Tunjuk perasaan di Bangkok, Thailand pada 15 Okt 2020 (Gambar: Pichayada Promchertchoo)

Diterbitkan : 15 Oct 2020 07:26PM Dikemas Kini : 15 Oct 2020 07:30PM

BANGKOK: Beratus-ratus penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun semula di pusat perniagaan Ratchaprasong di Bangkok pada petang Khamis (15 Okt), setelah tunjuk perasaan yang diadakan sebelum itu di luar Bangunan Kerajaan dileraikan oleh polis pada awal pagi tadi.

Lori air untuk mengawal rusuhan dan banyak van polis turut kelihatan. Para penunjuk perasaan menuntut pembebasan rakan-rakan mereka yang ditangkap oleh pihak berkuasa pada awal hari ini.

Ini berlaku meskipun keadaan darurat diisytiharkan oleh Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha pada 4.00 pagi waktu tempatan, yang mengharamkan sebarang perhimpunan seramai lima orang atau lebih serta sebarang tindakan yang boleh menimbulkan kerusuhan.

Penerbitan berita dan maklumat elektronik dengan mesej yang mencetuskan rasa takut dalam kalangan masyarakat, sengaja mengelirukan fakta, atau menyebabkan salah faham yang akan menggugat keselamatan negara, atau keamanan dan ketenteraman awam juga dilarang.

"Parti Rakyat mengutuk tindakan kerajaan. Kami juga ingin mempertahankan pendirian kami dengan meneruskan tunjuk perasaan ini pada 15 Oktober 2020, jam 4.00 petang, di persimpangan Ratchaprasong, ”kata salah seorang pemimpin tunjuk perasaan, Jutatip Sirikhan setelah polis meleraikan perhimpunan tersebut.

Penunjuk perasaan antikerajaan mengadakan bantahan besar-besaran di Monumen Demokrasi pada Rabu untuk menuntut pemerintahan PM Prayut digulingkan, pindaan pada perlembagaan negara dan penyusunan semula pemerintahan beraja.

Tunjuk perasaan itu diterajui gabungan kumpulan belia dari seluruh negara, yang dikenali secara kolektif sebagai Parti Rakyat. Nama itu merupakan satu rujukan simbolik kepada sekumpulan penggerak revolusi di yang membawa kepada peralihan Thailand daripada pemerintahan beraja secara mutlak kepada pemerintahan beraja yang berperlembagaan pada 1932.

Para penunjuk perasaan kemudian berhimpun di luar Bangunan Kerajaan pada sebelah petang sebelum disuraikan oleh polis pada keesokan harinya.

Ratchaprasong adalah kawasan pusat beli-belah dan perniagaan di Bangkok.

Menurut jurucakap polis Krissana Pattanacharoen, perhimpunan di Ratchaprason dianggap menyalahi undang-undang kerana melanggar dekri darurat negara itu.

Biro Polis Metropolitan mengerahkan para pegawainya untuk menjaga ketenteraman dan keamanan di daerah tersebut.

Lebih 20 penunjuk perasaan diberkas semasa operasi pagi tadi. Mereka termasuk pemimpin utama seperti Arnon Nampa, Parit Chiwarak, dan Prasit Karutarote. Polis kemudian menangkap seorang lagi pemimpin tunjuk perasaan, Panusaya Sithijirawattanakul, di sebuah hotel di Khaosan Road.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan