Images
  • qantas
    Gambar: DANIEL MUNOZ/REUTERS

Penumpang wanita meninggal dunia dalam pesawat Qantas dari S'pura

ADELAIDE: Seorang penumpang wanita pesawat Qantas meninggal dunia dalam penerbangan dari Singapura ke Sydney hari ini (29 Jun), menurut laporan di Australia.

Pesawat QF2 dari London ke Sydney menerusi Singapura itu terpaksa mendarat di Adelaide pada 3.50 pagi (2.50 pagi waktu Singapura) disebabkan insiden tersebut.

Menurut laman news.com.au, satu pengumuman kabin disiarkan bagi meminta jika ada doktor dalam pesawat itu tampil membantu. Dua penumpang yang dilatih dalam perubatan tampil membantu bersama kakitangan kabin.

Seorang jurucakap Qantas berkata bahawa meskipun bantuan perubatan diberikan, mereka tidak dapat menyelamatkan penumpang warga Australia tersebut.

"Kakitangan kami melakukan segala yang termampu, termasuk menjalankan CPR dengan seorang doktor dalam pesawat tetapi malangnya penumpang itu meninggal dunia," kata jurucakap itu kepada news.com.au.

Juruterbang pesawat itu kemudian mengumumkan bahawa penerbangan itu dipesongkan ke Adelaide sejam selepas membuat pengumuman meminta bantuan doktor.

Kecuali jenazah wanita yang meninggal dunia, penumpang lain tidak meninggalkan pesawat apabil aia mendarat di Adelaide. Penerbangan itu disambung semula ke Sydney pada 6.00 pagi (4.30 pagi, waktu Singapura).

Polis Australia Selatan menyatakan bahawa kematian itu "tidak disiasat sebagai kes yang menimbulkan kesangsian", menurut news.com.su sambil menambah bahawa ia akan menyiapkan laporan bagi koroner.  

- AFP/SM/sm

Top