Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penumpang jatuh sakit, pesawat Emirates dikuarantin di JFK

Sebuah pesawat Amiriah Arab Bersatu (UAE) (Emirates) dari Dubai dikuarantin di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy (JFK) selepas 11 orang dilaporkan jatuh sakit ketika dalam penerbangan, kata syarikat itu dan media tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Sep 2018 12:06PM Dikemas Kini : 06 Sep 2018 11:57PM

NEW YORK: Sebuah pesawat Amiriah Arab Bersatu (UAE) (Emirates) dari Dubai dikuarantin di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy (JFK) selepas 11 orang dilaporkan jatuh sakit ketika dalam penerbangan, kata syarikat itu dan media tempatan.

Penerbangan Emirates 203, pesawat Airbus A388 dua tingkat, membawa sekurang-kurangnya 521 penumpang, mendarat sejurus jam 9 pagi waktu tempatan, menurut jurucakap syarikat penerbangan.

Jurucakap syarikat itu dan pejabat datuk bandar New York berkata, 19 orang disahkan jatuh sakit dalam penerbangan dari Dubai ke bandaraya itu.

“Ketika tiba di JFK, sebagai langkah berjaga-jaga, mereka segera diperiksa pihak berkuasa tempatan dan penumpang yang memerlukan rawatan perubatan dirawat,” kata jurucakap Emirates.

Tambah jurucakap itu, tiga penumpang dan tujuh anak kapal dibawa ke Pusat Perubatan Hospital Jamaica manakala sembilan lagi penumpang diperiksa di lapangan terbang dan dibenarkan pulang.

Jurucakap Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) kemudian mengesahkan 11 orang dibawa ke hospital.

Para pegawai kesihatan berkata penumpang yang terjejas menunjukkan tanda-tanda demam selesama seperti batuk dan muntah-muntah.

Beberapa penumpang disyaki dijangkiti penyakit itu di Makkah semasa mengerjakan ibadah haji.

Menurut para pegawai lagi mereka yang dirawat di hospital berada dalam keadaan stabil dan tidak seorang pun yang memerlukan jagaan perubatan 'luar biasa'.

Larry Cohen, seorang penumpang pesawat, memuat naik gambarnya di Twitter menunjukkan berpuluh kenderaan polis dan ambulans menunggu di luar pesawat di atas landasan.

“Kami dimaklumkan ada beberapa penumpang sakit dan kami perlu berada dalam pesawat,” kata Cohen kepada Reuters menerusi mesej di Twitter.

Penyanyi rapper Amerika Vanilla Ice yang juga berada dalam pesawat itu pula memuat naik Tweet berbunyi: "Pesawat kami baru sahaja mendarat dari Dubai. Kecoh benar. Nampaknya lebih 100 orang di tingkat bawah pesawat dikatakan sakit. Mujur, saya duduk di tingkat atas." 

Sumber : Reuters/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan