Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penularan pneumonia Orang Asli bukan berkaitan kegiatan perlombongan: Wan Azizah

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Wan Azizah Wan Ismail berkata penularan penyakit radang paru-paru (pneumonia) dalam kalangan masyarakat Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh di Gua Musang, Kelantan, bukan disebabkan aktiviti perlombongan bijih mangan (manganese).

Anggaran Waktu Membaca:
Penularan pneumonia Orang Asli bukan berkaitan kegiatan perlombongan: Wan Azizah

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dr Wan Azizah Wan Ismail. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 14 Jun 2019 02:37PM Dikemas Kini : 14 Jun 2019 02:39PM

GUA MUSANG: Timbalan Perdana Menteri Malaysia Wan Azizah Wan Ismail berkata penularan penyakit radang paru-paru (pneumonia) dalam kalangan masyarakat Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh di Gua Musang, Kelantan, bukan disebabkan aktiviti perlombongan bijih mangan (manganese).

Beliau berkata keputusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kimia pada 12 Jun secara keseluruhan mendapati mutu air di kawasan sampel, iaitu Sungai Lebir, adalah mematuhi Standard Kualiti Air Minum Kebangsaan Bagi Air Mentah.

"Keputusan pada 12 Jun juga mendapati tiada pencemaran daripada sisa kelapa sawit, pestisid dan hermisid.

"Siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar juga mendapati tiada sebarang pelepasan sisa dan perlombongan manganese (bijih keluli) di Felda Aring 10 yang terletak kira-kira 10 kilometer dari perkampungan Orang Asli Kuala Koh," jelas Dr Wan Azizah.

Beliau berkata demikian kepada para wartawan selepas meninjau dan mendengar taklimat tertutup di Pusat Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADM) di Dewan Felda Aring 10 pada Jumaat (14 Jun).

Bagaimanapun, Dr Wan Azizah menambah kerajaan akan mengesan punca sebenar penularan pneumonia, yang berlaku di kawasan perkampungan tersebut, menerusi Kementerian Kesihatan.

"Ini satu fenomena baharu yang tidak melanda Orang Asli (pada waktu) dahulu. Kita nak tahu kenapa penularan penyakit yang mengakibatkan kematian mendadak sebab kita dapati mereka memang ada masalah kronik sejak beberapa tahun lepas.

"Apakah yang menyebabkan penyakit ini tercetus sehingga menyebabkan kematian. Keputusan ujian makmal (terhadap penularan penyakit ini) dijangka akan diperoleh dalam masa terdekat sebab dia kena kenal pasti mikroorganisma menerusi sampel yang diambil daripada pesakit dan mayat," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata kerajaan juga sedang memikirkan cara bagaimana untuk membantu masyarakat tersebut menikmati tahap kehidupan lebih baik berbanding ketika sekarang.

"Salah satunya, kawasan rayau mereka juga semakin mengecil menyebabkan mereka kurang mendapatkan protein yang mencukupi sehingga mengakibatkan malnutrisi," katanya. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan