Images
  • WHO logo
    Lambang Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) di ibu pejabatnya di Geneva (Gambar: Reuters)

Penularan Ebola diisytihar 'kecemasan antarabangsa'

BENI: Dalam satu langkah yang agak jarang dilakukan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan penularan penyakit Ebola di Republik Demokratik Congo sekarang, sebagai satu kecemasan antarabangsa.

Ini adalah kali kelima tahap kecemasan sedemikian dikeluarkan WHO.

Sejak penularan Ebola bermula di Congo, 11 bulan lalu, hampir 1,700 orang maut.

WHO dijangka merayu sumbangan AS$700 juta (S$952 juta) yang diperlukan untuk mengekang penularan Ebola dan bertambahnya korban jiwa di Congo.

Negara-negara jiran Congo kini berisiko tinggi tetapi menurut WHO ia belum lagi satu ancaman sejagat.

WHO sebaliknya menyeru masyarakat antarabangsa agar tidak menguatkuasakan larangan perjalanan atau perdagangan di rantau terjejas.

Kempen kesedaran tentang cara-cara melindungi diri daripada dijangkiti Ebola serta langkah vaksinasi, telah membantu menghadkan penularan penyakit itu, ke dua wilayah di timur laut Congo.

Namun keadaan politik yang tidak stabil serta kurangnya kepercayaan orang ramai kepada kakitangan kesihatan, merumitkan usaha membendung penularan Ebola.

Penyakit Ebola mudah berjangkit dan lazimnya meragut nyawa 50 peratus pesakitnya. 

- Agensi berita/AA/tq

Top