Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penularan COVID-19 di New Zealand meningkat, Australia kekal waspada

New Zealand pada Sabtu (15 Ogos) melaporkan tujuh kes baru COVID-19 sedang sekatan pergerakan di bandar terbesar negara itu, Auckland, dilanjutkan pada Jumaat sebagai tindak balas ekoran penularan pertama virus korona di negara itu dalam beberapa bulan.

Anggaran Waktu Membaca:
Penularan COVID-19 di New Zealand meningkat, Australia kekal waspada

Seorang pekerja jagaan kesihatan menjalankan ujian COVID-19 di pusat ujian di pinggir bandar Northcote, Auckland, pada 12 Ogos 2020. (Gambar: David Rowland/AFP)

Diterbitkan : 15 Aug 2020 02:50PM Dikemas Kini : 15 Aug 2020 02:53PM

WELLINGTON: New Zealand pada Sabtu (15 Ogos) melaporkan tujuh kes baru COVID-19 sedang sekatan pergerakan di bandar terbesar negara itu, Auckland, dilanjutkan pada Jumaat sebagai tindak balas ekoran penularan pertama virus korona di negara itu dalam beberapa bulan.

Enam daripada tujuh kes baru itu dikaitkan dengan kelompok yang bertanggungjawab bagi semua kes masyarakat sebelumnya, sementara satu kes sedang disiasat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Ashley Bloomfield dalam satu taklimat media di Wellington.

Kes-kes baru itu meningkatkan jumlah jangkitan New Zealand kepda 1258 secara keseluruhan, sementara jumlah kes yang aktif sekarang adalah 56. Seramai 22 orang terkorban setakat ini.

Sekatan pergerakan di Auckland, yang didiami 1.7 juta penduduk, dilanjutkan selama hampir dua minggu, ekoran penemuan kes jangkitan COVID-19 pertama di negara itu dalam masa 102 hari pada Selasa lalu, dalam sebuah keluarga di Auckland.

New Zealand dan negara jirannya Australia menghadapi jumlah kes jangkitan dan kematian akibat COVID-19 yang jauh lebih rendah berbanding banyak negara lain, antaranya disebabkan langkah pantas pemerintah melaksanakan sekatan. Walaupun menanggung biaya ekonomi yang besar, langkah-langkah tersebut meningkatkan keyakinan rakyat terhadap para pemimpin kedua-dua negara.

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern, bagaimanapun kini menghadapi tekanan menjelang pilihan raya umum akan datang, dengan pembangkang utama Parti Nasional menuduh kerajaan gagal mengawal kemudahan kuarantin dan menahan maklumat.

Wilayah kedua paling padat dengan penduduk di Australia, Victoria, terus bergelut setelah menjadi pusat penularan terbesar virus korona di negara itu bulan lalu. Ibu kotanya, Melbourne dikenakan sekatan ketat enam minggu dan pergerakan terhad dilaksanakan di kawasan-kawasan lain di Victoria.

Pada Sabtu, Victoria mencatat 303 kes baru dan empat kematian, menyusuli 372 jangkitan baru dan 14 kematian pada Jumaat.

Walaupun jumlah pada Sabtu jauh lebih rendah daripada puncak 725 kes baru yang dicatat pada 5 Ogos dan keadaan penularan wabak telah menjadi agak stabil, pihak berkuasa negeri menggesa agar orang ramai kekal berwaspada.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan