Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penjualan pusat tahfiz Ustaz Kazim Elias ditangguhkan

Pengasas dan Pengetua pusat berkenaan, Ustaz Mohd Kazim Elias berkata kerajaan negeri serta beberapa pihak menyatakan kesudian untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pusat pendidikan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Penjualan pusat tahfiz Ustaz Kazim Elias ditangguhkan

Ustaz Kazim Elias. (Gambar: malaymailonline)

Diterbitkan : 11 Jul 2018 09:42PM Dikemas Kini : 11 Jul 2018 09:48PM

IPOH: Penjualan Unit Tahfiz Al-Quran Al Barakah di Pusat Pendidikan Al Barakah di Manjoi di sini, akan ditangguhkan buat sementara. Ini kerana ia perlu melakukan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri terlebih dahulu.

Pengasas dan Pengetua pusat berkenaan, Ustaz Mohd Kazim Elias berkata kerajaan negeri serta beberapa pihak menyatakan kesudian untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pusat pendidikan tersebut.

“Saya menerima panggilan daripada pihak kerajaan negeri pagi ini yang mahu berbincang dengan saya mengenai masalah yang dihadapi pusat ini.

“Selepas perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri saya akan mengumumkan keputusan sama ada menutup atau tidak unit tahfiz pada Ogos ini,” kata Ustaz Kazim kepada pemberita di Ipoh hari ini (11 Jul).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai penjualan unit tahfiz berkenaan yang tular di laman sosial baru-baru ini. Pusat Pendidikan Al-Barakah yang beroperasi pada 2006 mempunyai tiga unit iaitu Tahfiz Al-Quran, Pondok Pengajian Dewasa dan Tadika Nurul Barakah.

TIDAK MAMPU BAYAR KOS RM150,000 SEBULAN

Pendakwah terkenal itu berkata sekiranya unit tersebut dijual notis akan dikeluarkan dalam tempoh empat bulan bagi membolehkan pihak yang berkenaan membuat perancangan.

“Untuk menutup pusat tahfiz ini bukannya hari ini cakap esok tutup. Pelajar di sini mempunyai keluarga dan kami kena beri masa untuk keluarga mereka mencari sekolah lain, begitu juga dengan 25 kakitangan di unit tahfiz ini,” kata Ustaz Kazim.

Ustaz Mohd Kazim menjelaskan beliau mahu menjual unit tahfiz itu kerana tidak mampu membiayai kos keseluruhan unit berkenaan yang berjumlah sekitar RM150,000 (S$51,000) sebulan.

Kos tersebut katanya termasuk RM60,000 (S$20,000) gaji kakitangan serta guru dan selebihnya untuk bayaran kemudahan termasuk makan, minum serta pengurusan. Beliau berkata kos pengurusan unit tahfiz tersebut dibiayai oleh wang hasil daripada kuliah dan ceramahnya bukan dana daripada pelbagai pihak termasuk parti politik.

“Saya tidak pernah meminta dana daripada mana-mana pihak termasuk parti politik sebelum ini untuk menguruskan pusat ini. Kos keseluruhan dibiayai menggunakan wang hasil kuliah, ceramah saya serta penjualan produk seperti buku dan cakera padat milik saya dengan kerjasama pihak penerbitan,” katanya.

Menurut Ustaz Mohd Kazim, beliau tidak dapat membiayai unit tersebut kerana kuliah dan ceramahnya dibatalkan di saat akhir sehingga menyebabkan sumber pendapatan digunakan untuk membiayai pusat berkenaan terjejas.

“Saya tidak tuduh sesiapa dan tidak mahu tuduh sesiapa kerana ceramah saya dibatalkan oleh penganjur di saat akhir dan ada yang dibatalkan selepas saya dah sampai di bilik menunggu,” katanya sambil menambah pembatalan ceramah berlaku sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan