Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penjara 5 tahun, denda RM5,000 kerana tetak isteri

Seorang warga emas dipenjara lima tahun dan didenda selepas dia mengaku bersalah menetak isterinya

Anggaran Waktu Membaca:
Penjara 5 tahun, denda RM5,000 kerana tetak isteri

Gambar hiasan. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 27 Jul 2018 04:25PM Dikemas Kini : 27 Jul 2018 04:28PM

TEMERLOH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini (27 Jul) memerintahkan seorang warga emas dipenjara selama lima tahun dan didenda RM5,000 (S$1,675) selepas dia mengaku bersalah menetak isterinya, lebih dua minggu lalu.

Hakim Azuar Che Yusof yang menjatuhkan hukuman itu terhadap Salmi Mat Seh, 69 tahun, turut memerintahkan hukuman penjara ditambah 12 bulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda. 

Tertuduh didakwa menetak Noridah Mahmud, 57 tahun, dengan menggunakan pisau pemotong daging pada pukul 6.00 pagi, 11 Julai lalu di Surau Taman Bunga Raya di sini, semasa mangsa sedang bersolat subuh. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326 A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, atau dengan denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu. 

Seksyen 326A pula menyatakan jika tertuduh adalah pasangan kepada mangsa, hukuman yang dikenakan adalah dua kali ganda hukuman. 

Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Mazieera Ra Sharifudin yang mewakili tertuduh merayu supaya mahkamah meringankan hukuman kerana tertuduh adalah pesara. 

"Saya merayu supaya tertuduh tidak dikenakan hukuman sebat kerana usianya. Tertuduh adalah seorang pesara dengan pendapatan RM1,000 (S$335) yang digunakan untuk menanggung isteri dan seorang anak tiri berusia 17 tahun," katanya. 

Timbalan Pendakwa Raya Salwa Asmary Abdul Rahim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh menyebabkan mangsa cedera, selain dilakukan di tempat awam. 

"Hukuman perlu mengambil kira kesan trauma yang dialami mangsa," katanya. 

Fakta kes menyatakan mangsa ditemui anaknya dalam keadaan lemah sebelum dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini untuk menerima rawatan. 

Sumber : Bernama/KN/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan