Images
  • malaysia police
    Gambar fail logo Polis Diraja Malaysia. (Gambar: AFP/Saeed Khan)

Penjaga masjid didakwa cabul kanak-kanak perempuan

IPOH: Seorang penjaga masjid didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini (11 Okt) atas tiga pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak perempuan yang berusia lapan tahun enam bulan, minggu lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd Norhisam Ramli, 38 tahun, ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Tertuduh merupakan seorang pemegang kad orang kurang upaya (OKU) keupayaan mental yang sedang menerima rawatan di Jabatan Psikiatri, Hospital Manjung.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Norhisam didakwa telah memeluk dan mencium mulut kanak-kanak perempuan itu di sebuah masjid di Manjung pada pukul 11.30 pagi sehingga 12 tengah hari pada 2 Okt lalu.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa menggigit mulut dan meraba kemaluan kanak-kanak itu di tempat dan masa yang sama.

Mohd Norhisam didakwa mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat, selain diletakkan di bawah pengawasan polis bagi satu tempoh minimum setahun serta maksimum tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Naidatul Athirah Azman manakala Mohd Norhisam tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya mengarahkan tertuduh dibawa ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, di sini, untuk pemeriksaan lanjut selain menetapkan 8 Nov untuk sebutan semula kes.

- BERNAMA/NA/na

Top