Images
  • pengusaha kosmetik durian
    (Gambar: BERNAMA menerusi media sosial)

Pengusaha kosmetik Malaysia bakal dipanggil polis, jamuan durian tular

KUALA LUMPUR: Gara-gara bersiaran langsung di media sosial sambil menikmati buah durian bersama beberapa individu, seorang pengusaha kosmetik yang juga selebriti media sosial akan dipanggil memberi keterangan kerana dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Ku Mashariman Ku Mahmood berkata pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu pada 4 petang Sabtu (31 Jul). 

Katanya, tangkap layar dari media sosial seorang individu pada Jumaat telah tular kira-kira 1.10 petang berkaitan selebriti berusia 34 tahun itu sedang bersiaran langsung sambil menikmati buah durian bersama beberapa individu lain. 

“Pengusaha kosmetik tersebut adalah seorang selebriti terkenal dan mempunyai ramai pengikut di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata penularan tangkap layar video tersebut telah mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat kerana melanggar SOP Fasa Satu PPN. 

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Ku Mashariman turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP selain berhati-hati memuat naik atau berkongsi apa-apa kenyataan atau kandungan di media sosial supaya tidak mewujudkan satu spekulasi negatif yang boleh mendatangkan fitnah atau kemudaratan kepada ketenteraman awam.

- BERNAMA/SU/fz

Top