Images
  • dracula castle
    (Gambar: AFP)

Pengunjung ke istana Dracula ini ditawar suntikan vaksin COVID-19

BRAN, Romania: Pengunjung ke Istana Bran di Romania, yang juga dikenali sebagai tempat tinggal Dracula, disuntik vaksin COVID-19 dalam satu program vaksinasi yang dijalankan pada hujung minggu.

"Saya datang ke istana ini bersama keluarga saya dan apabila saya nampak poster vaksin COVID-19, saya beranikan diri dan bersetuju untuk mendapatkan suntikan," kata jurutera Liviu Necula, 39 tahun.

Mereka yang menerima vaksin diberi sijil yang memuji "keberanian dan sifat tanggungjawab mereka".

Pintu Istana juga dibuka kepada mereka "selama 100 tahun akan datang" di samping lawatan percuma ke "ruang penyiksaan".

Terletak di lembah berkabus di kawasan pergunungan Carpathian, Istana Bran dikaitkan dengan seorang putera Romania pada abad ke-15 yang bernama Vlad Tepes atau dikenali sebagai "the Impaler", meskipun beliau tidak pernah tinggal di sana.

Pengarang Dracula Bram Stoker dipercayai mendapat inspirasi daripada Vlad dan penerangan mengenai Istana Bran apabila menulis novel itu pada tahun 1897 yang juga melahirkan genre vampire moden.

Program vaksinasi pemerintah Romania termasuk 'maraton' 24 jam di tempat-tempat awam seperti Perpustakaan Awam di Bucharest bagi memastikan seramai mungkin penduduk menerima suntikan vaksin.

Hampir 3.6 juta daripada 19 juta penduduk Romania sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, dengan pihak berkuasa menyasarkan lima juta penduduk menjelang Jun. 

- AFP/HA/ha

Top